Umno, PAS tidak minta jawatan TPM, kata sumber


The Malaysian Insight

Pemimpin dua parti itu membincangkan senarai cadangan menteri dengan perdana menteri semalam. Mereka bersetuju dengan hampir kebanyakan jawatan yang ditawarkan dan beberapa lagi akan diputuskan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

BARISAN Nasional (BN) dan PAS setuju untuk menerima hanya beberapa jawatan menteri dan tidak mendesak kedudukan timbalan perdana menteri dalam Jemaah Menteri pentadbiran Muhyiddin Yassin, yang dijangka diumumkan seawal Isnin.

Pemimpin dua parti itu membincangkan senarai cadangan menteri dengan perdana menteri semalam. Mereka bersetuju dengan hampir kebanyakan jawatan yang ditawarkan dan beberapa lagi akan diputuskan hari ini.

The Malaysian Insight difahamkan pemimpin BN dan PAS akan dilantik memegang jawatan menteri dalam negeri dan menteri luar negeri. Pemimpin Bersatu, parti pimpinan Muhyiddin, akan dilantik sebagai menteri kewangan.

“Mereka masih bincang jawatan lain seperti menteri hal ehwal ekonomi tetapi itu mungkin akan dapat pada BN,” kata sumber daripada Muafakat Nasional (MN), pakatan politik Umno dan PAS.

Gabungan baharu kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dibentuk bersama oleh Bersatu dan MN, menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang terkubur pada 24 Februari lalu.

Menurut sumber, MN tidak berminat dengan jawatan timbalan perdana menteri kerana ia tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Orang itu perlu jadi menteri. MN memutuskan untuk berkongsi jawatan untuk mengekalkan kesaksamaan. Kami tidak akan minta,” katanya.

Bersatu juga katanya tidak akan mencalonkan sesiapa untuk jawatan timbalan perdana menteri kerana pemimpin parti itu sudah memegang jawatan perdana menteri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN semalam berkata beliau tidak akan menyertai Kabinet Muhyiddin untuk apa juga jawatan menteri, termasuk tidak mahu dipertimbangkan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berkata beliau tidak kisah, kalau tidak dipilih sebagai menteri, beliau boleh “balik jadi nelayan pun tak apa”.

Pemimpin kanan Umno dan PAS mengadakan pertemuan sebelum mengemukakan senarai calon menteri mereka kepada Muhyiddin, kata seorang lagi sumber MN kepada The Malaysian Insight.

Antara nama yang difahamkan dicadang sebagai menteri termasuk bekas menteri dalam pentadbiran BN dan PH. Mereka termasuk Ismail Sabri Yaakob dari Umno, serta ahli baru Bersatu seperti Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

“Pemimpin parti yang berjawatan akan dapat jawatan utama diikuti yang lain yang berkelayakan. 

“Jadi kita akan tengok Ismail Sabri dapat jawatan kanan berbanding Hishammuddin Hussein kerana beliau tidak pegang jawatan dalam parti.

“Kira-kiranya mudah. Bersatu perlu memuaskan hati pimpinan partinya sendiri, selain rakan-rakan dalam MN dan BN.

“Kita hanya akan tengok pemimpin kanan dilantik sebelum mereka yang tidak memegang jawatan,” tambahnya.

Sumber berkata PN juga akan menamakan beberapa pemimpin daripada Gabungan Parti Sarawak, yang sebelum ini setuju mendukung PN tanpa menyertai Kabinet. GPS kemudian setuju untuk bersama dalam pentadbiran Muhyiddin.

“Ada banyak orang yang hendak disenaraikan dalam Kabinet. Kita perlu putuskan sebelum Isnin,” tambah sumber.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri seminggu yang lalu pada 1 Mac. Beliau bagaimanapun belum menamakan sesiapa untuk mana-mana jawatan kecuali Idrus Harun sebagai peguam negara menggantikan Tommy Thomas yang letak jawatan pada 28 Februari lalu.

Beliau juga perlu menamakan pengganti Latheefa Koya yang letak jawatan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lalu.

Muhyiddin sebelum ini menjanjikan barisan Jemaah Menteri yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Kenyataannya mengetepikan beberapa pemimpin kanan Umno yang sedang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah. 

Ia juga mencetuskan spekulasi beliau memerlukan masa yang lebih panjang untuk memilih barisan menterinya.

Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri juga berkata sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga 18 Mei ini bagi membolehkan Muhyiddin terlebih dahulu mengumumkan Jemaah Menteri. β€“ 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen