Zahid tidak mahu jadi menteri Kabinet Muhyiddin


AHMAD Zahid Hamidi tidak mahu dirinya dipertimbangkan sebagai anggota Jemaah Menteri dalam pentadbiran baharu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor Astro Awani.

Presiden Umno membuat pengumuman itu semasa berucap di hadapan penyokongnya di Bagan Datuk, Perak, hari ini.

“Saya yakin, perdana menteri mempunyai pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya untuk melantik mereka yang berkelayakan, berwibawa dan berkemampuan untuk membantunya dalam barisan Kabinet,” katanya, seperti dipetik portal berita stesen 24 jam itu.

Zahid berucap merasmikan mesyuarat cawangan Umno dalam Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Pada sidang media selepas itu, beliau menegaskan keputusannya muktamad.

“Saya sebagai pengerusi Barisan Nasional dan juga presiden Umno telah memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan Kabinet.

“Saya berdoa semoga Allah Taala memberi hidayah kepada Yang Amat Berhormat PM, melindungi kerajaan Perikatan Nasional, jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai dan mendapat pengampunan daripada Allah.

“Keputusan saya ini adalah keputusan muktamad setelah mengambil kira semua faktor yang telah saya sebutkan dalam ucapan tadi,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kenyataannya hari ini bolehlah dianggap pemakluman pertama kepada Muhyiddin.

Kenyataan Zahid hari ini menyusul lima hari selepas ucapan sulung Muhyiddin pada Isnin lalu, sehari setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata beliau memahami kehendak rakyat yang mahu sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Beberapa pihak menjangkakan, dengan kenyataan itu, barisan kabinet yang sedang dibentuk oleh Muhyiddin tidak akan melibatkan pemimpin yang berjawatan tinggi daripada Umno yang sedang berhadapan tuduhan jenayah di mahkamah.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengulangi ketegasan parti Islam itu menyokong pendirian Muhyiddin bahawa barisan Jemaah Menteri pentadbiran baharu ini mestilah terdiri daripada kalangan berintegriti, berkelayakan, berkemahiran, dan mewakili masyarakat majmuk.

Pentadbiran baharu Perikatan Nasional dibentuk hasil gabungan Bersatu, Umno, dan PAS, dan mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen