GPS terima pelawaan Perikatan Nasional tubuh kerajaan persekutuan


Ketua Menteri Abang Johari Openg bagaimanapun berkata penerimaan tersebut adalah bersyarat - iaitu kerajaan persekutuan akan dikenali sebagai Perikatan Nasional- GPS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk menerima jemputan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang belum mengumumkan kabinet persekutuan.

Ketua Menteri Abang Johari Openg bagaimanapun berkata penerimaan tersebut adalah bersyarat - iaitu kerajaan persekutuan akan dikenali sebagai Perikatan Nasional- GPS.

Beliau berkata nama itu adalah bagi mencerminkan kedudukan parti pemerintah dan bukan melambangkan bahawa parti sebahagian daripada Perikatan Nasional.

Ketua menteri Sarawak sering menegaskan bahawa gabungan empat parti Sarawak itu adalah entiti yang berasingan dari Perikatan Nasional.

Abang Johari juga tidak menjelaskan bilangan jawatan dalam kabinet yang ditawarkan kepada GPS, dan percaya bahawa pengumuman kabinet mungkin berlaku dalam masa dua hingga tiga hari lagi.

Selepas sidang akhbar majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Petrajaya petang tadi, Abang Johari berkata beliau menerima jemputan untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet pada hari Khamis.

Ketua menteri itu memberikan dua alasan mengapa Gabungan Parti Sarawak bersetuju dengan jemputan Muhyiddin.

Beliau berkata dengan wakil dalam kabinet, GPS akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyuarakan apa yang rakyat Sarawak mahu.

“Mereka akan menyuarakan aspirasi rakyat Sarawak dalam keputusan dasar.”

Ketiadaan wakil di kabinet persekutuan, katanya, akan menjadikan negara ini dalam kecelaruan berhubung proses keputusan dasar Putrajaya khususnya keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan negeri.

Kedua, beliau berkata, menteri Kabinet dari Sarawak juga akan berada dalam kedudukan kukuh untuk meneruskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kini hangat diperdebatkan, selain menyelesaikan isu panas seperti pemantauan Petronas dan menundukkan syarikat itu supaya mematuhi undang-undang negeri.

“Sekiranya kita tidak berada dalam kabinet, kita tidak boleh menyuarakan masalah ini secara rasmi.”

Ditanya berhubung jawatan yang ditawarkan kepada Sarawak, ketua menteri itu berkata perkara itu adalah hak prerogatif perdana menteri, beliau memberikan ruang kebijaksanaan itu kepada perdana menteri.

“Ia adalah kuasa prerogatif beliau. Beliau seorang negarawan yang sangat berpengalaman. Beliau tahu kedudukan GPS. Berapa banyak (menteri), nombor itu, saya serah kepada beliau.” – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen