Bahaya menang sorak


AGAK ironik apabila perdana menteri Malaysia ke-8 dilantik pada tahun lompat. Drama politik persis blockbuster Hollywood yang cukup memening dan memenatkan jutaan rakyat Malaysia akhirnya berehat seketika pada 1 Mac, 2020.

Sama ada melalui pintu depan, belakang, atas atau bawah, kita sebagai orang awam tidak dapat mewarisi apa-apa keuntungan pun melainkan sakit kepala, sakit hati dan beberapa gantang dosa.

Mungkin adalah serba-sedikit curahan ilmu kuntau politik jurus tikam belakang dan lompat parti, walaupun ia sebenarnya ilmu sesat juga. 

Buat kumpulan yang menang, tahniah diucapkan walaupun kejayaan sebegini selalunya berakhir dengan duka, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Sekiranya masih belum mahu serik-serik dengan pengalaman lalu, rakyat sekali lagi terpaksa membayar penalti yang sangat mahal; manakala orang Melayu dan Bumiputera pula akan hilang segala-galanya… maruah, agama, warisan-pusaka, identiti serta jatidiri bangsa.

Di atas kertas, kerajaan baharu mungkin ada kelebihan beberapa sokongan berbanding pihak lawan, tetapi sama ada ia mencerminkan keinginan 32 juta rakyat Malaysia atau lebih 14.9 juta pengundi yang memilih kerajaan mereka pada 2018, hanya masa yang akan menentukan.

Pada dasarnya, golongan bukan Melayu tentulah paling kecewa dengan kesudahan “Langkah Sheraton”, memandangkan kerajaan pasca PRU-14 dipilih oleh sebahagian besar dari kalangan mereka.

Kaum Melayu pula mungkin lega dengan pemilihan calon perdana menteri “underdog” yang dikatakan seorang ultra-Melayu, yang bersih serta Islamik penampilannya walaupun cuak juga melihat gelagat politikus-rakus-korup yang kini sudah kembali ceria, garang, sihat dan segar-bugar di hadapan kamera dan mikrofon.

Dosa mereka barangkali bakal tercuci bersih dengan tertabalnya perdana menteri yang baharu.

Gabungan Barisan Nasional, PAS, serta sebahagian besar perwakilan Bersatu tertubuh bagi menyahut reaksi massa kepada tindakan serta sentimen anti-Melayu dan Islamofobik yang konsisten oleh sesetengah daripada kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

Gabungan ini kononnya berjaya menamatkan perseteruan lebih tiga dekad Umno-PAS yang pernah terbawa-bawa hingga ke masjid dan surau dengan isu dua imamnya, kafir-mengkafir dan banyak lagi.

Pada hari ini hubungan ahli serta wakil cawangan dan bahagian sudah akrab, sudah boleh duduk semeja, solat fardhu dan solat hajat secara berjemaah setiap malam bagi mendoakan negara Malaysia yang terus aman dan makmur.

Kepada PH, realiti kekalahan yang mesti diterima ialah merosotnya keyakinan orang ramai khususnya kaum Melayu-Bumiputera terhadap kerajaan PH.

Gelagat “sombong dan lancang” sesetengah wakil rakyat PH di Parlimen, serta cakap-cakap belakang tabir tentang sikap mereka yang sering engkar arahan perdana menteri, kecenderungan mencantas, memboikot serta mengganggu tugas pegawai kerajaan oleh menteri, timbalan menteri serta pegawai pegawai lantikan khas di kementerian tertentu.

Kebimbangan terhadap aktiviti curang ini cuba disuarakan Bersatu tetapi tenggelam oleh kekuatan lobi serta sumber anggota bukan Melayu PH. Tidak hairanlah jika wujud pimpinan dalam Bersatu sendiri yang khuatir dan mulai mengalih sokongan.

Lebih mengundang kemarahan rakyat apabila ada menteri Melayu-Islam dalam PH yang ibarat terlebih kuah dari sudu, celupar sekali merendah-rendahkan keupayaan bangsa dan agama sendiri dan berani menyokong tuntutan pro-liberal atau iktikad yang tidak selari.

Hari ini rakyat dikatakan menanggung hutang yang jauh lebih tinggi daripada biasa, ditambah lagi dengan iklim ekonomi domestik serta global yang tidak menentu. Keyakinan pelabur yang rendah, pasaran saham, komoditi dan matawang yang merudum kesemuanya menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup, nilai barangan dan hartanah.

“Kecederaan” yang boleh membawa maut ini tidak mungkin dapat sembuh sendiri, sebaliknya perlu melalui rawatan atau pembedahan, kaunseling dan terapi.

Ia menjadi penting kerana 60% daripada pesakit datang dari satu komposisi kaum sedangkan merekalah tenaga kerja, pemilih kerajaan, pembayar cukai, pembeli, pelabur dan pemain industri.

Malangnya tindak-tanduk kurang bijak kerajaan PH walaupun tidak sampai dua tahun memerintah seakan-akan mahu melepas geram dan menghukum.

Apa saja isu melibatkan kepentingan sosio-politik Melayu dipangkah dan dineutralkan sama ada melalui media atau melalui tali barut Melayu.

Anehnya apabila membicara situasi ekonomi Melayu yang cemas, mereka membisu.

Jika terpaksa disebut kedengaran tidak ikhlas, dan disebut pula bersama-sama terma B40, saksama, rajin-malas, tongkat.

Wawasan Kemakmuran Bersama yang menuntut keterlibatan semua kaum umpama program syok sendiri dan dipandang sepi anggota PH sendiri.

Tidak dinafikan kerajaan PH dalam tempoh yang singkat telah menunjukkan potensi yang menggalakkan, namun ia masih dalam kerangka menghukum kaum Bumiputera seolah-olah mereka tidak boleh lagi diberikan peluang kedua.

Gerakan bawah tanahuntuk menyahmelayukan negara inilah yang akhirnya menjatuhkan mereka lebih awal; walhal jika diurus dengan bijaksana boleh menjadi modal politik dengan pulangan jangka panjang yang besar.

Pada masa yang sama kita harus mengakui betapa terhadnya bilangan pemimpin Melayu yang berkaliber dan benar-benar berjiwa rakyat yang dapat membawa suara majoriti ke Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri, PBT, agensi kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan.

Kita belum temui barisan pelapis nasionalis Melayu muda pasca era Mahathir, Anwar dan Muhyiddin atau Hadi sedangkan di pihak sebelah sana barisan muda mereka sudah berjaya menguasai pentas utama politik negara.

Orang Melayu perlukan pelaksana, bukan pak turut, tukang karut, pemakan gaji dan pemanas kerusi semata.

Justeru, isu utama yang mesti ditangani kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin Yassin adalah untuk menyatukan semula orang Melayu menjadi bangsa yang berdikari, berintegriti, beriman dan bertakwa.

Molek juga sekiranya satu dasar jangka panjang Melayu dirangka merangkumi perbagai aspek kehidupan termasuklah dari sudut sahsiah, kepimpinan, moral, adab, keupayaan intelektual, agar tidak mudah goyah bertukar identiti kemelayuannnya atau syahadahnya.

Tugas ini tidak terpikul diatas bahu perdana menteri seorang tetapi oleh seluruh lapisan kepimpinan bermula daripada keluarga (ya, ibu bapa juga harus dididik semula), kawasan kejiranan, sekolah, kariah masjid dan surau, tempat kerja sehinggalah ke peringkat komuniti, daerah dan negeri.

Sebenarnya dasar dan polisi, wawasan serta agenda memperkasa khusus untuk Bumiputera memang telah banyak dilaksanakan. Cuma ia seringkali ia bergerak mengikut hala politik atau mengikut peruntukan yang disediakan. Kebanyakan agenda memperkuat Bumiputera juga dilihat berbentuk program, karnival, keraian dan pesta-pestaan.

Kerajaan harus mencari jalan agar usaha-usaha yang perbagai ini dapat diseragamkan serta diperkemas menjadi gerakan transnasional dan ukhrawi. Kita harus akui bahawa kesatuan orang Melayu adalah kunci utama kepada kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ucapan sulung Muhyiddin selaku perdana penteri memberi jaminan bahawa tidak ada golongan yang akan diabaikan. Sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang telus dan adil untuk memperkasa rakyat.

Jika dikatakan malas maka rajinkan, jika miskin diperkayakan, jika kurang bijak dipintarkan, jika cacat diupayakan jika berpecah belah disatu-padukan.

Akhir sekali, ucapan jutaan terima kasih buat PH kerana dalam tempoh 648 hari sebagai kerajaan, kalian berusaha dan banyak mempelajari secara amali asam garam selaku anggota kerajaan, serta peri pentingnya menjaga hati dan sensitiviti setiap kaum di Malaysia, khususnya kaum terbesar di negara ini.

Sebagai warganegara yang menjunjung demokrasi, kita sentiasa berdoa sekiranya diberikan kesempatan untuk memerintah semula, PH akan lebih saksama dalam erti kata yang sebenar-benarnya. – 7 Mac, 2020.

* Kalam Pintar ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen