Budaya, teras bangsa


TERDAPAT satu pengajaran mendalam daripada Indonesia yang boleh kita contohi berikutan minggu yang telah berlalu, penuh dengan pancaroba politik dan pergolakan negara.

Melihat bagaimana media Indonesia melaporkan peristiwa minggu lalu amat menarik, sehingga membawa kepada panggilan telefon mesra Pak Jokowi kepada perdana menteri kita pada malam Isnin yang lalu.

Adab dan adat dalam rentetan perbualan ucap tahniah kepada YAB perdana menteri oleh Pak Jokowi terlihat apabila pemimpin negara jiran itu memanggil Tan Sri dengan panggilan rasmi berkali-kali sebelum memberi laluan kepada panggilan lebih mesra.

Di Indonesia, tradisi budaya adalah teras membentuk halatuju dan intipati soal budi bicara, tadbir urus dan kuasa ekonomi. Walaupun di Indonesia, budaya rusuhan boleh berlarutan, pada keseluruhannya, Indonesia amat mementingkan soal budaya. Daripada jawatan tertinggi kepada pengusaha kecil-kecilan, budaya menjadi ukuran dan panduan.

Ingin saya kongsikan kisah pertemuan dengan seorang adiguru wayang kulit bernama Pak Ari di House of Wayang Kulit di Jogjakarta, berhampiran dengan persekitaran Keraton Sultan Jogjakarta.

Pak Kipar, pemandu beca yang baik hati membawa kami ke kraton Sultan Jogjakarta. Kami bersiar-siar sejak pagi, melalui jalan-jalan kecil, dengan Gunung Merapi kelihatan berdiri megah dari semua sudut.

Pak Kipar berkongsi cerita dan kisah unik bandar Jogja, terserlah cintanya yang mendalam terhadap bandar dan budaya Indonesia. Kami melalui villa villa yang indah dan terus ke jalan lebih sibuk, berhenti sebentar di bengkel hasil kraf perak dan di kantor batik.

Setibanya di House of Wayang Kulit, terdapat seminar kecil untuk lima pelancong. Saya terkejut mendengar ceramah tersebut dalam bahasa Perancis.

Pak Ari kemudian keluar untuk menyambut kedatangan kami. “Di Jogja, ia semuanya berkisar tentang budaya,” Pak Ari membuka kata. “Budaya kami yang unggul. Melalui budaya, kita menguatkan jati diri. Identiti. Budaya adalah pengikat yang menentukan keharmonian. Jika jati diri tidak kuat, bagaimana kita boleh mencapai apa-apa?”

Hari ini, selepas kemelut krisis yang hampir tidak terbendung dan perpecahan yang mengancam untuk memanjangkan kekecohan, kisah ini kembali di ingatan apabila terfikir tentang negara yang dikasihi.

Alhamdulillah, kita di Malaysia masih setia dan menaruh penuh kepercayaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong lah payung Negara. Ini satu warisan dari nenek moyang kita berlandaskan hasil perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana, cicit kepada Puteri Onangkiu daripada Gellangui (dipercayai bertapak di Johor) yang sudah sebati dalam memori DNA kita.

Hari ini, kesetiaan inilah yang memastikan rakyat tenang menghadapi cabaran terbesar ini.

Hikayat Merong Mahawangsa juga mengajar kita, walau apa sekalipun, kita mestilah sabar dan tenang serta yakin pada Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kemelut dan masalah penyatuan negara.

Tidak seperti kisah sejarah yang lain, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa tidak lari dari perkongsian kisah pemerintah zalim dan bagaimana caranya untuk berdepan dengan keadaan sebegitu.

Kedah merupakan salah satu sistem beraja tertua di dunia kekal hingga hari ini dan pengajaran Hikayat Merong Mahawangsa sangat relevan merungkai amaran dan pengajaran zaman berzaman.

Pokoknya, pada minggu lepas, kita telah menyaksikan krisis terbesar yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam dunia politik kita. Seperti yang telah kita lihat, perebutan kuasa yang begitu jengkel berlaku, tanpa sifat saling menghormati lawan seperti dalam adab perlawanan.

Hari ini kita bermusuh. Esoknya kita bersekutu. Dan seterusnya. Setiap hari cerita yang berbeza.

Walau dalam taman permainan tadika sekalipun, ini dianggap tidak beretika.

Mungkin selama empat dekad yang lampau, dalam mengejar pembangunan ekonomi, kita mengambil pendekatan yang terlalu condong ke arah kepentingan ekonomi semata-mata. Juga mementingkan pendidikan dan usaha saintifik dengan tumpuan untuk mencapai pembangunan ekonomi.

Dengan berbuat demikian, kita seolah-olah percaya teknologi dan ekonomi adalah satu-satunya penyelesaian yang akan membantu kita membina kekuatan di dunia.

Kita terlupa kita perlu lebih daripada teknologi dan ilmu untuk membina tamadun – kita memerlukan budaya yang akan membentuk jati diri. Ilmu dan teknologi hanya satu komponen budaya yang jitu mendukung tamadun.

Kita sebenarnya begitu taksub dengan kalah menang. Pemikiran dan budaya sebegini akhirnya menyebabkan, semuanya kalah. Saya dengan rendah hati mencadangkan kita membina dan memupuk budaya dalam semua aspek kehidupan dan pembangunan negara.

Ambillah iktibar dari budaya warisan – dari ilmu, seni, adat, hikmah dan tingkah laku sosial sebagai pemangkin kukuh pembangunan sosio-ekonomi yang mampan.

Bahasa Melayu. Adab dan Adat. Taridra Makyung dan Mek Mulung. Kesusasteraan. Orkestra tradisional seperti gamelan dan caklempong. Permainan seperti wau dan gasing. Kraf tangan seperti perak, tukang ukir, adiguru pembuat keris, pembatik dan banyak lagi. Bawalah aspek indah ke dalam kehidupan kita terutamanya kehidupan anak-anak kita. Sejak 1990-an, dua generasi terkeluar dari tradisi ini.

Warisan budaya boleh membentuk aktiviti kokurikulum memupuk perpaduan bersama di sekolah nasional dan meningkatkan kreativiti. Hapuskan sekolah vernakular tetapi terapkan pengajian Mandarin dan Tamil ke dalam sekolah.

Ingatlah Orkestra Belia Negara – mereka amat banggakan alumni mereka kumpulan mereka yang pelbagai. Ini formula baik untuk mencapai kecemerlangan melalui sekolah kebangsaan.

Apabila anda membuat seni yang indah bersama-sama, terdapat satu ikatan anda berkongsi yang sangat berdaya tahan.

Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa ekonomi kita mesti kuat dan berdasarkan kemakmuran bersama untuk semua. Kita perlu bergerak ke hadapan bersama-sama.

Sebagai satu. pemimpin-pemimpin kita perlu mencari formula yang tepat untuk budaya ihsan terunggul baru, demi meninggalkan kebencian yang tidak rasional serta sifat dendam dalam politik.

Terimalah budaya yang menekankan pembinaan negara melalui politik kebersamaan.

Barulah kita boleh membina sebuah bangsa yang besar dan bertamadun. – 7 Mac, 2020.

* Ninot Aziz ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen