Penjilat berakal jelik bermain propaganda jijik sebagai berita


The Malaysian Insight

BANKRAP: miskin kualiti.

Dangkal: akal tepu.

Jahat: tiada moral atau keji.

Bila dicantum ketiga maksud di atas, secara tidak langsung akan menghuraikan sikap individu-individu tertentu dalam Kem Najib Razak. Yakni, mereka-mereka yang menghamburkan kepada pembaca berbahasa Melayu gambar-gambar cucu Dr Mahathir Mohamad yang dikutip daripada media sosial itu.

Mainan mereka mudah: rosakkan reputasi Dr Mahathir dengan menanam gambar-gambar gadis berpakaian terdedah, a la moden itu ke dalam lubuk fikiran Melayu.

Tunjukkan gambar sebegitu kepada khalayak Melayu dan biarkan rakyat simpulkan begini: kalau Dr Mahathir sendiri tidak mampu mengajar cucunya berpakaian elok atau bercirikan Islam, maka dia tidak layak pun untuk jadi pemimpin Melayu.

Taktik sebegini terang-terangan menunjukkan gerak kerja pasukan Najib yang sebenarnya sama seperti pemimpin mereka buat. 

Mereka inilah yang keji dan pengecut.

Malah, mereka gagal untuk berhujah mengenai dasar atau visi negara.

Paling teruk, mereka tidak berupaya bermain ke tahap lebih bijak dan bernilai. Mereka gagal untuk bermain akal, melawan hujah, mahupun bekerja lebih keras daripada seseorang yang berusia 92 tahun itu.

Jujur cakap, mereka sendiri tidak pasti dan tidak yakin dengan ‘pencapaian’ era Najib.

Jadi, mereka sanggup turun ke tempat jijik dan cuba untuk menjatuhkan Dr Mahathir dengan menjahanamkan masa hadapan cucunya.

Inilah sikap individu-individu yang telah menanam benih buruk dalam pemikiran elit pemerintah.

Beginikah akal pasukan pemikir?

Bankrap, dangkal dan jahat.

Malah, perkataan-perkataan ini tidak cukup pun untuk huraikan individu-individu yang bergerak di bawah Kem Najib. Tanpa sehabuk pun kebijaksanaan, mereka tayangkan gambar-gambar kepada orang ramai dengan harapan kononnya gambar dapat menjelaskan segala-galanya.

Rancangan mereka ialah dengan menyumbat apa sahaja untuk masyarakat supaya dapat mengalih isu yang lebih utama, tidak kisah lah isu itu di bawa oleh Dr Mahathir atau orang lain. Mereka rasa rakyat perlu disumbat dengan gosip dan gambaran kabur sebegitu, berbanding memfokuskan masyarakat kepada hal yang lebih utama buat negara.

Keupayaan mereka bermain taktik sebegitu di media arus perdana secara terang lagi bersuluh menunjukkan tahap pemikiran cetek mereka dan betapa rendahnya standard berita dan propaganda dewasa ini.

Satu-satunya cara untuk tidak terperangkap dalam permainan mereka ini ialah dengan mengabaikan mereka dan ketepikan isu itu. 

Sebab, hanya kita, rakyat Malaysia sahaja yang boleh tentukan sama ada mereka patut kekal atau tidak. – 12 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen