Akhbar pro Umno dedah hidup mewah cucu Dr Mahathir


Keratan akhbar Berita Minggu yang memaparkan artikel mengenai kehidupan mewah cucu Dr Mahathir Mohamed. – Gambar The Malaysian Insight, 12 November, 2017.

DUA akhbar pro Umno meluaskan fokusnya dengan mendedahkan kehidupan mewah Meera Alyanna Mukhriz, cucu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk “Meera Alyanna Mukhriz mewah bergaya bak selebriti” dengan memaparkan gambar cucu Dr Mahathir di atas kapal layar.

Menurut akhbar milik Umno itu, kehidupan anak Mukhriz yang lebih dikenali sebagai Ally itu mewah umpama selebriti, sering menggayakan pakaian berjenama serta dan menjadi tumpuan pengguna media sosial.

Akhbar itu juga mendakwa, Ally dilihat kerap pergi bercuti dengan ke seluruh dunia bahkan turut mempunyai sebuah bot dinamakan sempena namanya yang dipercayai dihadiah daripada bapanya.

“Bot mewah itu dikatakan dihadiahkan bapanya Mukhriz Mahathir. Melihat kehidupan ini kita boleh bayangkan betapa kehidupan Ally menjadi impian kebanyakan wanita di negara ini.

“Dan sudah tentu ramai pula akan memperkatakan tentang kehidupan Ally. Namun hakikatnya ini membuktikan cucu kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir ini hanyalah manusia biasa yang tidak mampu menolak kehidupan mewah umpama selebriti dan sang puteri.

“Apatah semua ini mampu disediakan oleh bapanya serta ahli keluarganya yang lain,” kata akhbar itu menerusi edisi mingguannya.

Sementara itu, akhbar Berita Harian pula di muka depannya memaparkan artikel bertajuk “Viral Kehidupan Mewah Cucu Tun M” dengan gambar Ally dan adiknya Melia Serena di atas bot bersama rakan-rakan mereka.

Lapor akhbar itu, terdapat akaun Facebook dengan nama “Sudahlah Mahathir” bertindak memuat naik 14 gambar memaparkan kehidupan mewah anak Mukhriz termasuk bot tertera nama Puteri Alyanna kini viral di laman sosial.

“Kehidupan mewah lebih dari raja.. dengan bot mewah sendiri.. hasil rompakan harta negara.. kamu fikir keluarga ini fikir soal rakyat.

“Atau rakyat hanya diguna untuk mendapat kuasa semula sebab tak puas menyedut kekayaan negara,” antara catitan Facebook “Sudahlah Mahathir” yang dipetik akhbar tersebut.

Menurut akbar tersebut, pengendali Facebook itu turut menulis nota kaki berbunyi; ”Koleksi gambar ini setelah disaring dan diketepikan semua gambar yang bersifat sangat peribadi dan agak lucah sebab admin bukan mahu serang bab akhlak dan sebagainya tapi harta kekayaan saja.”

Dipercayai koleksi gambar yang dipaparkan oleh Facebook tersebut diambil daripada akaun Instagram dua cucu Dr Mahathir itu. – 12 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen