Serangan terhadap cucu Dr Mahathir 'tindakan terdesak,' kata Marina


Bede Hong

Marina Mahathir berkata akhbar pro-Umno, Utusan dan Berita Harian terdesak dan sengaja mengalih perhatian isu 1MDB yang lebih genting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2017.

GAYA hidup mewah cucu Dr Mahathir Mohamad yang dipaparkan Berita Harian dan Utusan Mingguan hari ini terang lagi bersuluh menunjukkan parti itu dalam keadaan sangat terdesak, kata Marina Mahathir.

Marina memberitahu The Malaysian Insight, Berita Harian dan Utusan Malaysia dalam keadaan tertekan dan terdesak sampaikan sanggup meletakkan berita kehidupan mewah cucu Dr Mahathir, Meera Alyana Mukhriz (Ally) itu di muka hadapan akhbar itu hari ini.

Mukhriz merupakan anak Dr Mahathir dan bekas Menteri Besar Kedah yang dipecat daripada Umno kerana didakwa melakukan kesalahan tatatertib.

Marina kemudiannya mengirim pautan mengenai laporan anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz yang membeli hartanah menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

“Orang yang terdesak tengah cuba mengalih tumpuan dari isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight berhubung rencana itu.

Rencana itu yang memetik Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebagai berkata bahawa Riza Aziz telah membeli hartanah di luar negara dan poster filem yang mahal menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB melalui Aabar BVI.

Laporan bertarikh 16 Jun itu juga menyebut, selain hartanah di AS, Riza turut membeli hartanah Belgravia.

Belgravia merupakan kawasan di Barat London yang terkenal sebagai kawasan hartanah paling mahal dunia.

Awal hari ini, Utusan Malaysia dan Berita Harian berganding bahu menghentam gaya hidup Ally di muka hadapan akhbar pro Umno itu.

Mingguan Malaysia, Utusan untuk Ahad yang menggunakan tajuk “Meera Alyanna Mukhriz mewah bergaya bak selebriti” mendakwa hidup Ally itu mewah umpama selebriti selain sering menggayakan pakaian berjenama dan menghabiskan masa mengelilingi dunia dengan kapal layar mewah.

Manakala Berita harian pula dalam rencana bertajuk “Viral Kehidupan Mewah Cucu Tun M,” memaparkan gambar Ally dan adiknya Melia Serena di atas bot bersama rakan-rakan mereka.

Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan merupakan pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Najib, menuduh perdana menteri itu telah mencuri berbilion ringgit dari tabung negara. – 12 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen