Balada pemuzik di Malaysia


Meor Yusof Aziddin

“SIAPA dia Kassim Selamat? Lawyer? Magistrate?”

“Ahli muzik? Pantang datuk nenek aku ahli muzik!”

Dialog di atas adalah antara petikan kata-kata watak Nyonya Mansoor, lakonan mantap Mak Dara dalam filem klasik arahan P. Ramlee pada tahun 1962, Ibu Mertuaku. Cerita asalnya ditulis oleh Ahmad Nisfu.

Apabila kita menonton filem Ibu Mertuaku, perkara pertama yang bermain di fikiran kita, betapa hina dan daifnya untuk hidup sebagai seorang pemuzik. Pemuzik hanyalah umpama lilin yang menerangi sekeliling, itu saja. Yang mereka dapat hanyalah glamor, duit tak ada.

Saya lebih suka watak antagonis Nyonya Mansoor berbanding Kassim Selamat. Nyonya Mansoor nyata sangat mementingkan masa depan dan kebahagiaan anaknya, pun kerana kasihkan anak, dia sanggup menikahkan anaknya dengan pemuda yang bukan pilihan hatinya.

Bayangkan, Kassim Selamat dinikahkan dengan Sabariah, lakonan Sarimah tanpa mengeluarkan duit satu sen pun. Bahkan Nyonya Mansoor, demi kasihnya seorang ibu, sanggup memberikan anaknya 5,000 ringgit untuk pasangan suami isteri itu memulakan hidup baru.

Lima ribu ringgit pada tahun 1962, jumlahnya sangatlah besar, mungkin pada zaman ini nilainya lebih kurang seratus ribu ringgit.

Masalahnya Kassim Selamat dan isterinya tidak pandai merancang masa depan, kerja tak ada tapi hidup seperti orang kaya, bahkan si isteri lebih rela melihat suaminya menjadi buruh kasar daripada menjadi seorang pemuzik.

Di sini kita boleh lihat, kerja sebagai seorang buruh kasar itu pada mata masyarakat lebih dipandang mulia daripada menjadi seorang pemuzik. Dengan duit 5,000 ringgit mereka boleh habiskan dalam waktu beberapa bulan saja dan akhirnya terpaksa tinggal di bawah rumah (kolong).

Kassim juga dilihat sebagai lelaki yang terlalu emosi dan melayan perasaan sehingga matanya menjadi buta akibat ditinggalkan si isteri. Bahkan Kassim juga, atas kebodohannya dalam menilai makna hidup dan fitrah alam, sanggup membutakan matanya sendiri kerana tertipu dengan mainan duniawi.

Apa bezanya pemuzik zaman dulu dan sekarang? Apakah nilai seorang pemuzik itu sudah berubah ke arah yang lebih baik di sisi masyarakat hari ini?

Sebenarnya tidak banyak perbezaan, apa yang digambarkan dalam filem Ibu Mertuaku itu masih kekal relevan sehinggalah ke hari ini. Maknanya, nasib pemuzik kita masih tidak menentu. Senang cakap, menjadi pemuzik tidak menjamin masa depan!

Saya punya ramai kawan dan kenalan di kalangan pemuzik, yang amatur mahupun yang sudah terkenal. Nyatanya mereka masih lagi bermain muzik untuk meneruskan kehidupan, jauh sekali untuk menjadi kaya dengan bermain muzik.

Mungkin ada segelintir yang mampu hidup senang dengan menjadi pemuzik. Itu mungkin juga, tapi yang saya pasti, nilai pemuzik kita masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Yang kita lihat yang boleh buat duit mungkin pelawak atau segelintir penyanyi terkenal, juga pelakon popular - bukan pemuzik. Dari segi royalti, yang mendapat hasil adalah komposer dan juga penulis lirik. Itu jika kita lihat pada perkembangan seni dan hiburan tanahair hari ini.

Kebanyakan pemuzik yang bermain di pub atau hotel masih dibayar sekitar RM1,800 sehingga RM2,500 sebulan, bergantung kepada kontrak.

Kalau RM2,500 pada tahun 80-an itu dikira memadai tapi kita sudah berada di tahun 2017, masakan masih RM2,500 juga? Kos sara hidup makin tinggi, pendapatan pemuzik masih di takuk lama.

Seorang kawan saya yang berkerjaya sebagai seorang pemuzik professional, juga seorang guru muzik yang pernah mengajar di ASWARA juga di UITM. 

Dia hanya dibayar RM2,500 sebulan sebagai pemuzik di hotel yang bertaraf enam bintang di Kuala Lumpur sebagai pemuzik klasik dan jazz. Jumlah RM2,500 itu sangatlah kecil berbanding kemahiran dan kebolehan mereka. 

Yang buat duit, para agen, yang kerja mereka menguruskan hal ehwal dan kerjaya para pemuzik.

Bagi saya, pemuzik professional perlulah dibayar sekurang-kurangnya RM4,500 atau RM5,000 sebulan untuk bermain di hotel-hotel mahupun di pub yang terkenal di ibu kota ini. Itu jumlah yang relevan untuk zaman ini.

Kita juga berharap, semoga nasib dan pendapatan para pemuzik akan lebih baik dan dapat menjamin masa depan.

Cuba kita tanya kebanyakan ibu bapa hari ini, mahukah mereka bermenantukan seorang pemuzik? Kalau adapun, mungkin demi kebahagiaan anak mereka, seperti juga dengan watak Nyona Mansoor dalam filem Ibu Mertuaku. – 12 November, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen