Gabungan baharu lebih baik daripada Pakatan, kata Redzuan


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri dan Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof berkata ini kerana beberapa rakan lama Pakatan Harapan tidak terlibat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

AHLI Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof membayangkan sekiranya berlaku gabungan kerajaan daripada Bersatu, Barisan Nasional, dan PAS, mereka akan mentadbir lebih baik berbanding gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Redzuan berkata, rakyat boleh menilai prestasi dan membuat perbandingan sebaik sahaja kerajaan daripada gabungan itu berjaya memerintah.

“Kalau lihat hari ini, pertumbuhan ekonomi agak terbantut, saya tak boleh ceritakan secara terperinci, tunggulah dan lihat, kita boleh buat perbandingan.

“Apabila kerajaan baru ini terbentuk saya yakin kita boleh bergerak dengan lebih lancar,” kata Redzuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, malam tadi selepas beberapa parti politik secara terbuka menyatakan sokongan kepadanya sebagai perdana menteri.

Selepas Bersatu mengumumkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, beberapa parti politik terutama Umno dan PAS turut menyatakan sokongan mereka, menjadikan Ahli Parlimen Muar itu mempunyai sekurang-kurangnya 97 sokongan untuk mengetuai kerajaan.

“Saya rasa perkembangan ini amat positif, kerana saya sendiri sebagai menteri dalam PH, saya merasakan kita boleh buat lebih baik, kerana ekonomi tidak begitu baik, pendapat saya, banyak yang boleh kita buat dengan ketiadaan beberapa rakan pakatan, kita sentiasa mahu melihat perkembangan berbanding kelembapan,” kata Redzuan.

Ahli Majlis PimpinanTertinggi Bersatu itu berkata, keputusan partinya mengangkat Muhyiddin sebagai calon perdana menteri turut mendapat persetujuan Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

“Dr Mahathir tidak halang, beliau sebenarnya kata tidak ada halangan, dan berkali-kali diulang dalam kenyataan beliau, tidak ada halangan,” kata Redzuan.

Tambahnya, Bersatu juga tiada halangan untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS, dalam Muafakat Nasional, bersama gabungan Barisan Nasional (BN), walaupun Dr Mahathir sebelum ini enggan menerima Umno secara berkumpulan.

“Ini persepsi sahaja, kita tak boleh katakan orang-orang dalam sesuatu kumpulan itu jahat, perompak, dan pencuri. 

“Kita ada undang-undang untuk uruskannya, jadi tidak akan kita korbankan prinsip itu, prinsip sama yang kami bawa dulu dalam satu Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Dr Mahathir keluar daripada mesyuarat bersama 26 ahli Parlimen Bersatu, siang tadi.

“Itu kadang-kadang orang ambil satu pandangan yang negatif, macam saya, kalau libatkan diri saya sendiri, saya akan ambil pendirian berkecuali, kerana tidak adil untuk saya berada di situ.

“Jadi itu biasa dalam apa mesyuarat sekali pun, kalau subjek itu melibatkan seseorang, beliau akan keluar sementara, bukan keluar begitu, beliau mohon supaya perkara itu tidak dibincangkan berulang kali, kerana beliau sudah nyatakan pendiriannya belang kali,” kata Redzuan lagi. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen