Ketua Umno Johor angkat sumpah jadi MB


SM Amin

Hasni Mohammad mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene dihadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – Gambar Facebook, 28 Februari, 2020.

KETUA Umno Johor Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu selepas perubahan kerjasama politik di negeri itu.

Hasni mengangkat sumpah dalam satu majlis di Istana Bukit Serene dihadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Semalam, Sultan memberi perkenan untuk pembentukan kerajaan gabungan baharu terdiri daripada Bersatu, Umno, MCA, MIC dan PAS susulan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Tetapi, PH Johor mendakwa kerajaan negeri tergantung kerana mereka mempunyai 28 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor dan menolak pembentukan kerajaan gabungan baharu. 

Hari ini, menurut Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Samsolbari Jamali, Hasni yang juga Adun Benut pergi ke Istana Bukit Serene sekitar jam 4.30 petang untuk majlis angkat sumpah menteri besar. 

“Saya belum mendapat kepastian yang tepat daripada tuan punya badan. Tetapi maklumat terkini perkara tersebut sudah selesai.

“Hasni ke Istana Serene sekitar jam 4.30 petang tadi untuk mengangkat sumpah menteri besar Johor yang baharu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Rabu lalu, Sultan Johor memanggil kesemua 56 Adun Johor ke istana untuk menghadap baginda untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baharu.

Tindakan tersebut susulan daripada keputusan Bersatu pada Isnin lalu yang mengumumkan keluar daripada PH. 

Daripada 56 Adun hanya dua Adun tidak hadir iaitu Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub, dan Adun Puteri Wangsa dari Bersatu, Mazlan Bujang.

Hasni kini adalah menteri besar ke-18 menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April 2019.

Ini adalah pelantikan menteri besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen