Pakatan tumbang di Johor, Sultan perkenan kerajaan baharu


Kerajaan Pakatan Harapan di Johor tumbang hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

SULTAN Johor telah memberi perkenan untuk sebuah kerajaan baharu dibentuk di negeri itu selepas Pakatan Harapan runtuh susulan tindakan Bersatu keluar dari gabungan, kata Setiausaha Sulit baginda Jaba Mohd Noah.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan selepas menemuduga 54 daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor Bahru, semalam.

Daripada temuduga itu, 28 Adun memilih gabungan baharu sementara 26 Adun memilih Pakatan Harapan.

“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sesi temuduga itu diadakan selepas Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu dan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad menyembah maklum kepada Tuanku sebuah gabungan baharu telah disepakati dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Jaba memaklumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir hadir dalam sesi temubual. Dua Adun iaitu Salahuddin Ayub (Amanah- Simpang Jeram) dan Mazlan Bujang (Bersatu- Puteri Wangsa) bagaimanapun tidak dapat hadir. 

Temubual di hadapan Sultan Johor itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani dan penasihat undang-undang negeri.

Semua Adun turut diminta menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka menyokong PH atau gabungan baharu.

PH membentuk kerajaan di Johor sejak Mei 2018 dengan gabungan 39 kerusi yang dibentuk bersama DAP (14), PKR (5), Amanah (9), dan Bersatu (11).

Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi yang dimiliki oleh oleh Umno (14) dan MCA (2). PAS yang berkerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional mempunyai 1 kerusi.

Selepas Bersatu keluar, PH mempunyai 28 kerusi.

Johor adalah kubu utama yang dikuasai PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang dimenangi hasil kempen untuk menembusi dan menguasai kawasan serta undi Melayu.

Johor adalah satu-satunya negeri yang setakat ini berubah pentadbiran selepas perkembangan politik di peringkat nasional sejak hujung minggu lalu.

Awal hari ini, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mengumumkan pentadbirannya kekal selepas Bersatu membentuk kerajaan campuran bersama Pakatan. – 27 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen