Pakatan dakwa ada 28 kerusi, DUN Johor tergantung


Penyelaras Pakatan Harapan Johor Aminolhuda Hassan (duduk, dua dari kanan) berkata, pihaknya menolak pengumuman pembentukan sebuah kerajaan negeri yang baharu hasil kerjasama Bersatu, Barisan Nasional (BN), dan PAS.– Gambar Facebook, 27 Februari, 2020.

KEDUDUKAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dipercayai tergantung selepas Pakatan Harapan malam ini mendakwa ia kini ada 28 wakil rakyat di dewan yang mempunyai 56 kerusi.

Penyelaras PH negeri Aminolhuda Hassan berkata dengan kedudukan itu pihaknya menolak pengumuman pembentukan sebuah kerajaan negeri yang baharu hasil kerjasama Bersatu, Barisan Nasional (BN), dan PAS.

“Kami ada sokongan sembilan wakil rakyat Amanah, 14 DAP dan lima dari PKR.

“Gabungan baharu tidak ada kelebihan untuk membentuk kerajaan tetapi kami yang lebih layak menubuhkan kerajaan,” katanya, seperti dipetik oleh Malay Mail Online.

Aminolhuda dipetik berkata demikian selepas bermesyuarat dengan wakil rakyat PH disertai Adun Simpang Jeram Salahuddin Ayub, yang juga timbalan presiden Amanah.

Adun Pemanis Dr Chong Fat Full dari PKR yang sebelum ini dikatakan menyokong gabungan baharu Bersatu-BN-PAS juga hadir.

Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal sebelum itu berkata gabungan baharu akan menghantar nama calon menteri besar kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membentuk kerajaan.

Katanya, kerjasama Bersatu dalam gabungan baharu mendapat restu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Awal hari ini, Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah berkata Tuanku telah memberi perkenan untuk sebuah kerajaan baharu dibentuk di negeri itu selepas Pakatan Harapan runtuh susulan tindakan Bersatu keluar dari gabungan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan selepas menemuduga 54 daripada 56 Adun di Johor Bahru, semalam.

Daripada temuduga itu, 28 Adun memilih gabungan baharu sementara 26 Adun memilih Pakatan Harapan.

PH membentuk kerajaan di Johor sejak Mei 2018 dengan gabungan 39 kerusi yang dibentuk bersama DAP (14), PKR (5), Amanah (9), dan Bersatu (11).

Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi yang dimiliki oleh oleh Umno (14) dan MCA (2). PAS yang berkerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional mempunyai 1 kerusi.

Selepas Bersatu keluar, Pakatan mempunyai 28 kerusi.

Johor adalah kubu utama yang dikuasai oleh Pakatan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang dimenangi hasil kempen untuk menembusi dan menguasai kawasan serta undi Melayu.

Isnin lalu, Bersatu mengumumkan keluar Pakatan menyebabkan kerajaan persekutuan runtuh selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen