Kanak-kanak kerdil mangsa buli derma AS$475,000 kepada tabung amal 


Quaden Bayles (kanan) mendapat perhatian dan sokongan daripada masyarakat dunia.– Gambar EPA, 27 Februari, 2020.

KANAK-kanak kerdil warga Australia yang menjadi mangsa buli akan mendermakan ratusan ribu dolar kepada tabung amal berbanding menggunakannya untuk melancong ke taman tema Disneyland.

Video Quaden Bayles, 9, yang sedang menangis dan berulang kali mengatakan mahu membunuh diri selepas dibuli di sekolah, tular dan mencetuskan sokongan luar biasa daripada seluruh dunia.

Ia turut membuatkan pelawak dari Amerika Syarikat memulakan laman GoFundMe yang kini meraih kutipan hampir AS$475,000.

Walaupun dana berkenaan membolehkan Bayles dan ibunya ke Disneyland, ibu saudaranya memberitahu NITV News bahawa wang kutipan berkenaan akan digunakan untuk tujuan amal.

“Kanak-kanak mana yang tak mahu ke Disneyland, terutamanya jika kamu ada kehidupan seperti Quaden. Untuk keluar ke mana-mana memang menyeronokkan tapi kita kembali ke isu sebenar.

“Berapa banyak kes bunuh diri berlaku kerana buli dalam masyarakat kita. Kai mahu wang berkenaan disalurkan ke organisasi amal yang lebih memerlukan. Mereka tahu bagaimana untuk belanjakan wang itu.

“Dengan cara itu, saya rasa ia lebih banyak membantu masyarakat kita,” katanya.

Pelakon terkenal Hugh Jackman dan pemain bola keranjang NBA, Enes Kanter merupakan antara ribuan yang memberi sokongan kepada Bayles. – AFP, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen