BN Melaka cabar ketua menteri buktikan ada majoriti


SM Amin

BN Melaka cabar Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti daripada wakil rakyat negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

BARISAN Nasional (BN) Melaka hari ini mencabar Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti daripada wakil rakyat negeri itu.

Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh berkata Adly perlu mendapatkan akuan bersumpah (SD) wakil rakyat yang masih menyokong beliau untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob.

“Perhubungan BN Melaka menggesa Pakatan Harapan (PH) membuktikan kepada TYT dengan segera menyerahkan SD tanda sokongan majoriti wakil rakyat terhadap kerajaan negerinya.

“Jika tidak dapat dibuktikan, maka kerajaan negeri masih berada dalam keadaan kerajaan tergantung,” katanya kepada media di ibu pejabat Umno hari ini.

Rauf menyanggah kenyataan Adly sebelum ini yang menegaskan bahawa kerajaan negeri ketika ini kekal dengan status quo sedia ada dan barisan exco kerajaan negeri kekal.

Selepas PRU14, PH mentadbir Melaka dengan 15 kerusi, lebih dua kerusi berbanding Umno sebagai pembangkang.

Daripada jumlah itu, DAP mempunyai kerusi terbanyak iaitu 8 kerusi sementara Bersatu 2, PKR 3, dan Amanah 2.

Mengulas lanjut perkara itu, Rauf memaklumkan pihaknya juga sedang mendapatkan SD daripada semua Adun bagi membentuk gabungan baru pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

“Sehingga mana-mana pihak boleh buktikan kekuatan majoriti, pihak itu yang akan bentuk kerajaan.

“Kita hanya tunggu dua saja wakil rakyat daripada mana-mana parti datang untuk bersama kita dan kita boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Dua exco kerajaan negeri Melaka tidak hadir dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan oleh Adly, semalam.

Mereka adalah Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Muhammad Jailani Khamis dan Exco Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan negeri Mohd Rafiq Naizamohideen.

Jailani ketika dihubungi The Malaysian Insight menafikan desas-desus kononnya beliau dan Rafiq akan menarik balik sokongan kepada PH. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen