Suruhanjaya AS desak India bertindak kawal rusuhan agama


Seorang imam, Abdul Hafiz melihat kawasan pasar Tire berhampiran Gokulpuri selepas rusuhan kaum pada 26 Februari yang menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh. – Gambar EPA, 27 Februari, 2020.

SURUHANJAYA kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menyalahkan tindak balas India terhadap rusuhan komuniti meragut nyawa di New Delhi dan mendesak pemerintah mengambil tindakan pantas melindungi minoriti Islam di sana.

Suruhanjaya AS mengenai Kebebasan Beragama Antarabangsa menyuarakan “kebimbangan serius” tentang keganasan yang terjadi ketika kunjungan Trump.

“Salah satu kewajipan penting bagi mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab adalah memberikan perlindungan dan keselamatan fizikal terhadap rakyatnya, tanpa mengira kepercayaan,” kata pengerusi Tony Perkins, seorang Kristian konservatif yang rapat dengan pentadbiran Trump.

“Kami mendesak kerajaan India mengambil langkah serius untuk melindungi orang Islam dan kaum lain yang disasarkan oleh keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anurima Bhargava, pesuruhjaya yang dilantik oleh Speaker Dewan Demokrat Nancy Pelosi, menyuarakan amaran dalam laporan yang polis Delhi “tidak campur tangan dalam serangan ganas terhadap umat Islam.”

“Kekerasan yang kejam dan tidak terkawal di seluruh Delhi tidak boleh diteruskan,” katanya.

“Kerajaan India mesti mengambil langkah segera untuk memastikan keselamatan semua rakyatnya,” katanya.

Kritikan itu berbeza dengan sikap pentadbiran Trump.

Trump, yang ditanya pada sidang akhbar di New Delhi tentang keganasan, berkata isu itu terpulang kepada India” dan memuji kenyataan Perdana Menteri Narendra Modi mengenai “kebebasan beragama”.

Perwakilan Pramila Jayapal, seorang Demokratik kelahiran India yang lantang mengkritik Modi, menyebut perkembangan itu “mengerikan.”

“Demokrasi tidak sepatutnya bertolak ansur dengan pembahagian dan diskriminasi, atau menggalakkan undang-undang yang melemahkan kebebasan beragama. Dunia sedang melihat,” tulisnya di Twitter.

Pertempuran di Delhi, yang meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa, dicetuskan oleh protes terhadap undang-undang kewarganegaraan yang dilihat oleh pengkritik sebagai anti-Islam dan sebahagian daripada agenda nasionalis Hindu Modi.

Modi menyeru semua bertenang, walaupun saksi berkata polis tidak bertindak untuk menghentikan penunjuk perasaan beragama Hindu.

Pemerintahannya sebelum ini berikrar menyingkir “penyusup” dari India, dengan Menteri Dalam Negeri Amit Shah menyamakan pendatang tanpa izin dengan “anai-anai.”

Kerajaan mengatakan undang-undang kewarganegaraan tidak mensasarkan minoriti tetapi sebaliknya memastikan perlindungan bagi orang bukan Islam yang dianiaya di negara jiran.

Kementerian luar negeri India sebelum ini menegur Suruhanjaya Kebebasan Agama Antarabangsa AS kerana mengecam undang-undang kewarganegaraan.

Suruhanjaya itu juga merancang pendengaran awam minggu depan mengenai bagaimana undang-undang kewarganegaraan, termasuk di India dan Myanmar, digunakan untuk menyasarkan minoriti agama. – AFP, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen