Menunggu titah Tuanku


K. Kabilan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Agong ada 3 pilihan untuk selesaikan kemelut politik selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan dan runtuhnya kerajaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

SELEPAS menemuduga 220 ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong ada tiga pilihan untuk menyelesaikan kemelut politik yang julung kali berlaku susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pilihannya ialah melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, mengekalkan Dr Mahathir yang sekarang jadi perdana menteri interim atau mendapatkan nasihat perdana menteri untuk membubarkan Parlimen.

Sepanjang dua hari lalu, Seri Paduka menerima menghadap ahli Parlimen seorang demi seorang. Setiap seorang mereka diberikan masa dua tiga minit untuk menyatakan siapa dalam kalangan mereka yang mendapat sokongan majoriti daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta ahli Parlimen menamakan calon pilihan mereka untuk jadi perdana menteri, atau menyatakan Parlimen perlu dibubar untuk membuka jalan kepada pilihan raya sekali lagi.

Daripada 222 ahli Parlimen, hanya Nazri Aziz (Padang Rengas-Umno) tidak dapat menghadap kerana beliau masih di luar negara. Perdana menteri sementara Dr Mahathir pula dikecualikan.

Berikut secara ringkas pilihan Tuanku:

1. Benarkan Anwar bentuk kerajaan minoriti

Semalam, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, pemimpin PKR mendedahkan mereka menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri. Pada sebelah petang, PH mengesahkan mereka tidak lagi menyokong Dr Mahathir sebaliknya sekarang bersama Anwar.

Kenyataan PH menyebut mereka memilih Anwar sebagai calon perdana menteri kerana Dr Mahathir tidak menerima jemputan mereka untuk beliau hadir mempengerusikan mesyuarat pimpinan kanan parti itu pada Selasa.

Sebuah nota terbuka oleh DAP menggariskan perubahan pendirian parti itu. Selepas meletakkan jawatan pada Isnin, DAP menggesa Dr Mahathir supaya kekal sebagai perdana menteri.

Namun pada Selasa Dr Mahathir menyuarakan hasratnya mahu membentuk sebuah kerajaan yang melibatkan pelbagai pihak merentas garis parti politik.

Bagi DAP, ini bermakna memberikan Dr Mahathir berleluasa menentukan anggota Kabinetnya tanpa perlu merujuk mana-mana parti politik.

“Ia akan jadi kerajaan Dr Mahathir dan bukan kerajaan PH. Janji dalam manifesto PH tidak akan terlaksana,” kata nota DAP itu yang dikongsikan oleh wakil rakyatnya.

Setakat ini, berdasarkan pengumuman parti politik, Anwar mempunyai sokongan 92 ahli Parlimen PKR, DAP, dan Amanah. Sokongan terhadapnya lebih berbanding 64 yang mahu Dr Mahathir sekali lagi sebagai perdana menteri.

Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mempunyai keseluruhan 61 ahli Parlimen, terdiri daripada Umno (39), PAS (18), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1) memaklumkan kepada Seri Paduka hasrat mereka mahu Parlimen dibubar.

Kedudukan enam ahli Parlimen lain dari Sabah dan Sarawak tidak diketahui.

Memandangkan Anwar mempunyai jumlah sokongan terbesar, Agong boleh meminta beliau untuk membentuk kerajaan minoriti, yang pertama dalam sejarah Malaysia.

Dengan mengetuai sebuah kerajaan minoriti, tugas segera Anwar ialah mendapatkan sokongan daripada -parti lain di Dewan Rakyat bagi memastikan kerajaannya tidak ditumbangkan melalui usul undi tidak percaya. Dewan Rakyat dijadual bersidang pada Mac ini.

Anwar dan Jemaah Menterinya mungkin terpaksa sibuk untuk mempertahankan kedudukan kerajaan berbanding menunaikan janji. 

Ia juga dijangka berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan semua ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan, langkah yang diperlukan untuk mengotakan beberapa janji pembaharuan.

Ahli Parlimen PKR menaiki bas untuk ke Istana Negara bagi pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

2. Dr Mahathir sebagai perdana menteri

Agong juga boleh menimbang untuk Dr Mahathir dilantik semula sekiranya beliau mendapat sokongan yang tertinggi, namun kerajaannya juga akan jadi kerajaan minoriti.

Perdana menteri sementara itu dalam perutusan khas kepada rakyat Malaysia semalam menyatakan bentuk pentadbiran beliau sekiranya diberi izin untuk jadi perdana menteri – sebuah kerajaan tidak memihak parti politik.

“Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan. 

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya.

Ucapan Dr Mahathir semalam adalah yang pertama sejak letak jawatan dua hari sebelumnya.

Katanya, orang politik dan parti politik terlalu mengutamakan politik sehingga lupa bahawa ada masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

3. Bubar Parlimen, pilihan raya semula

BN dan PAS, yang pada mulanya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dengan tanggapan beliau akan menyertakan mereka dalam kerajaan menggantikan PH, berubah fikiran apabila mereka menghadap Seri Paduka.

“Dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat dan kita mohon supaya Parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat tentukan,” kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pada Selasa.

PH tidak berminat dengan pilihan raya semula. Alasannya, ia akan membazir dana awam.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menangguh atau membubarkan Parlimen, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak berdasarkan nasihat perdana menteri.

Perkara 43(4) juga menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas nasihat perdana menteri.

Peguam Negara Tommy Thomas, semasa menjelaskan kedudukan perdana menteri sementara, berkata Dr Mahathir mempunyai kuasa yang sama yang ada pada perdana menteri.

Katanya, pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara tidak mempunyai had masa dan beliau mempunyai semua kuasa yang ada pada perdana menteri, termasuk melantik Kabinet.

Ini bermakna Dr Mahathir boleh menasihati Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen.

Hari ini, Dr Mahathir akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, yang juga bertujuan mengurangkan kesan buruk akibat penularan Covid-19 dan ketidaktentuan yang lain. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen