PKR, DAP dan Amanah sepakat pilihan raya membazir


Chan Kok Leong

Khalid Samad berkata mesyuarat Majlis Presiden PH tidak membincangkan langsung mengenai mengadakan pilihan raya baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

PKR, DAP dan Amanah tidak setuju untuk mengadakan pilihan raya semula kerana ia hanya membazirkan wang, kata Khalid Samad.

Beliau berkata mesyuarat malam ini bersama tiga pemimpin parti, masih disifatkan sebagai Majlis Presiden Pakatan Harapan, tidak membincangkan langsung mengenai pilihan raya baharu.

“Kami tidak membincangkannya. Kenapa kita mahu membazirkan wang dengan pilihan raya baharu sedangkan kita boleh mendapatkan majoriti yang jelas,” kata pemimpin Amanah itu selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini.

Khalid berkata demikian susulan laporan berita yang ahli Parlimen Umno dan PAS memberitahu Yang di-Pertuan Agong mereka inginkan pilihan raya baharu.

Agong petang tadi mengadakan temu bual secara individu dengan 90 ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada proses untuk menentukan kerajaan baharu.

Ahli Parlimen diminta menyatakan pilihan calon perdana menteri atau sama ada Parlimen perlu dibubarkan.

Majlis Presiden PH malam ini tidak mengadakan sidang akhbar bagi wartawan selepas mesyuarat tamat.

Selepas mesyuarat lebih dua jam, pemimpin seperti Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Lim Kit Siang dan Gobind Singh; serta Presiden Amanah, Mohamad Sabu semuanya tidak bercakap dengan media.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata pengumuman akan dibuat esok.

“Kami berbincang dengan tiga parti yang tinggal dalam PH dan kami sudah mencapai satu konsensus.

“Keputusan itu akan diumumkan esok,” kata Salahuddin.

Apabila ditanya sama ada terdapat perjanjian kolektif mengenai siapa yang menyokong jawatan perdana menteri, beliau menjawab: “Calon PM? Esok.”

DAP dan Amanah secara berasingan mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bersatu tidak lagi bersama PH selepas menarik diri daripada gabungan itu pada Isnin, menyebabkan ia tumbang selepas peletakan jawatan Dr Mahathir. – 25 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen