Sah, Pakatan cadang Anwar jadi perdana menteri


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Pakatan Harapan menamakan Anwar Ibrahim selaku perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Februari, 2020.

ANWAR Ibrahim mengesahkan tiga parti komponen dalam Pakatan Harapan menamakan dirinya sebagai calon perdana menteri, selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan Isnin lalu.

Presiden PKR berkata, keputusan partinya bersama DAP dan Amanah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Jelas Anwar, Majlis Presiden menjemput Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat semalam namun beliau tidak bersetuju untuk datang.

“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam menetapkan bahawa calon perdana menteri ialah Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Anwar membaca kenyataan yang disediakan atas nama Majlis Presiden PH.

Yang Di-Pertuan Agong semalam dan hari ini menemubual semua ahli Parlimen bagi menentukan calon perdana menteri pilihan mereka setelah Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan Bersatu bertindak keluar daripada gabungan itu, Isnin lalu.

Pada hari sama, Dr Mahathir mengumumkan beliau melepaskan jawatan pengerusi Bersatu.

Tambah Anwar lagi, sejak cubaan menumbangkan kerajaan bermula Ahad lalu, PH berusaha mempertahankan mandat diberi rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau turut mengulangi pendirian bahawa PH mengecam sebarang usaha menubuhkan kerajaan pintu belakang.

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Keputusan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu disusuli peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu,” katanya.

Jelasnya lagi, PH juga tidak akan mengkhianati amanah diberi rakyat.

Bagaimanapun, presiden PKR itu enggan menjawab pertanyaan lain termasuk ulasan kenyataan Dr Mahathir.

Sebelum sidang PH bermula, Dr Mahathir melalui perutusan khas disiarkan media berkata jika diberi peluang, beliau mahu membentuk sebuah kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik sebaliknya meletakkan kepentingan negara jauh lebih utama mengatasi politik.

Dalam perutusan khas kepada rakyat Malaysia, Dr Mahathir yang kini memegang jawatan sebagai perdana menteri sementara berkata Malaysia sedang berdepan dengan masalah ekonomi dan ini masanya untuk mengetepikan politik. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen