Dr Mahathir, penentu kuasa


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad bukan saja berpeluang untuk jadi PM Malaysia kali ketiga, beliau juga mungkin mempunyai sokongan semua 222 ahli Parlimen. – Gambar AFP, 25 Februari, 2020.

SEMUANYA tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dr Mahathir Mohamad bukan saja berpeluang untuk jadi perdana menteri bagi Malaysia untuk kali yang ketiga, beliau juga barangkali mempunyai sokongan semua 222 ahli Parlimen.

Kenapa? Kerana tiada mana-mana pihak yang mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan dan menamakan dalam kalangan kalangan mereka seorang perdana menteri.

Di sebelah Pakatan Harapan (PH), PKR (39), DAP (42) dan Amanah (11) mempunyai 92 ahli Parlimen – kurang 20 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah 112 bagi menubuhkan kerajaan.

Di sebelah pihak yang lain, Mohamed Azmin Ali yang mempunyai 11 wakil rakyat (kumpulan Azmin) yang keluar PKR semalam, serta Bersatu (26), Umno (42) dan PAS (18) mempunyai 97 kerusi, dan mereka memerlukan lagi 15 sokongan.

Dari Sabah dan Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah masing-masing mempunyai 18 dan sembilan ahli Parlimen, bersama-sama Upko (1), Gabungan Parti Sabah (3), Parti Sarawak (1) dan seorang wakil rakyat Bebas.

Penyelesaian mudah ialah dengan PH dan kumpulan Azmin mendapatkan sokongan GPS dan Warisan, tetapi ia bukanlah mudah.

GPS tidak mahu bekerjasama dengan DAP atau PAS, menjadikannya sukar membentuk gabungan dengan mana-mana pihak. Warisan pula tidak mahu terlibat dengan PAS.

Jika PH dapat meyakinkan Warisan sekalipun, mereka masih tidak cukup 11 sokongan.

Bagi kumpulan Azmin, mereka juga tersangkut kerana mereka tidak akan dapat sokongan GPS dan Warisan yang tidak mahu bersama PAS.

Maka, satu-satu jalan penyelesaiannya ialah Dr Mahathir.

Selepas semua hiruk-pikuk ini, beliau satu-satunya pemimpin yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak sebagai calon yang munasabah untuk mengetuai sebuah kerajaan baharu, biarpun sekadar kerajaan minoriti.

Beliau sudah menolak untuk bekerjasama dengan Umno kerana tidak menerima amalan rasuah mereka.

Banyak orang melihat ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sebagai penentu kuasa. Namun Dr Mahathirlah sebenarnya penentu kuasa sekarang. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen