Pembubaran kerajaan atau rombakan Jemaah Menteri?


KERAJAAN Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ialah Kerajaan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). Kuasa eksekutif Kerajaan YDPA itu ditadbir oleh Jemaah Menteri yang boleh dilantik dalam kalangan ahli Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan seorang perdana menteri hendaklah terlebih dahulu dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada pertimbangan YDPA boleh mendapat sokongan majoriti ahli-ahlinya.

Pembubaran Parlimen ialah istilah popular untuk menunjukkan mandat diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih Kerajaan pilihan mereka melalui proses pilihanraya umum.  

Ada dua keadaan untuk dinilai sama ada Parlimen wajar dibubar atau tidak oleh YDPA di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Pertama, amalan biasa apabila YDPA dinasihati oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen apabila menghampiri tempoh hayatnya, iaitu 5 tahun. Kedua, permintaan Perdana Menteri yang tewas akibat undi tidak percaya oleh ahli Dewan Rakyat.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyatakan YDPA boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. Kuasa di bawah Perkara 55 secara amalannya dibuat atas nasihat perdana menteri. 

Apa yang menariknya Perkara 40(1) mensyaratkan YDPA hendaklah bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri atau seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.  

Jika dilihat pada peruntukan di atas, Jemaah Menteri boleh menasihati YDPA untuk membubarkan Parlimen. Dalam keadaan ini, pastinya perlu ada satu keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat, melainkan seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, lazimnya perdana menteri.

YDPA juga boleh membubarkan Parlimen apabila diminta oleh seorang perdana menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun ada pengecualian dalam isu nasihat atau permintaan untuk membubarkan Parlimen.  

YDPA mempunyai budi bicara di bawah Perkara 40(2)(b) untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. Kuasa ini tidak bermakna YDPA boleh menghalang pembubaran Parlimen selama-lamanya kerana Perkara 55(3) mensyaratkan bahawa melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar dengan sendirinya.

Ringkasnya, isu pembubaran Parlimen timbul apabila YDPA menimbangkan nasihat Jemaah Menteri atau perdana menteri selaku ketua Jemaah Menteri.

Pembubaran Parlimen dalam situasi di atas akan mengakibatkan wujudnya Jemaah Menteri interim untuk melaksanakan tugas penasihatan kepada YDPA dan fungsi eksekutif baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Selagi seorang perdana menteri masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau boleh terus melaksanakan tugas dan memimpin Jemaah Menteri, sebagai ketua kerajaan YDPA. 

Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada mana-mana parti politik kerana hak untuk melantik perdana menteri terletak pada budi bicara YDPA dengan syarat pada  pertimbangan baginda seorang ahli Dewan Rakyat yang boleh mendapat sokongan majoriti ahli-ahlinya. 

Kebijaksanaan dalam  penggubalan peruntukan sedemikian itu terserlah apabila tiada parti yang bersendirian mendapat undi majoriti ahli Dewan Rakyat dalam keputusan pilihan raya umum lepas.

Dalam tempoh itu, perdana penteri boleh menasihati YDPA untuk membentuk Jemaah Menteri atau membuat rombakan dari masa ke semasa.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, ahli Jemaah Menteri dilantik dalam kalangan ahli mana-mana Majlis Parlimen. Setakat hari ini, Dr Mahathir Mohamad kelihatan masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai seorang perdana menteri.

Justeru, sebagai seorang perdana penteri, beliau mempunyai budi bicara untuk merombak Jemaah Menteri dan menasihati YDPA untuk melantik ahli Jemaah Menteri baharu yang terdiri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, atau Dewan Rakyat sahaja.

Sekiranya itu yang diniatkan dan dilakukan oleh perdana menteri, beliau masih bertindak menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Tiada mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang seorang perdana menteri untuk menasihati YDPA bagi maksud pembentukan atau rombakan Jemaah Menterinya selagi ahli-ahlinya dipilih dalam kalangan ahli Majlis Parlimen.

Buat masa ini kelihatan belum timbul keperluan perdana menteri untuk menasihati YDPA bagi pembubaran Parlimen kerana perdana menteri masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, malah tempoh hayat Parlimen sejak mesyuarat pertama bagi penggal ini masih berbaki lama.

Keadaan di atas berbeza jika perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. 

Sekiranya perdana menteri tewas dengan undi tidak percaya sama ada dalam prosiding Dewan Rakyat atau tatacara lain yang sah menurut kaedah undang-undang maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan, atau beliau boleh meminta YDPA untuk membubarkan Parlimen.

Walau bagaimanapun, jika berlaku rombakan Jemaah Menteri untuk melantik kumpulan berbeza atau campuran ketika seorang perdana menteri terpilih, asasnya tetap sama. 

Perdana menteri yang menyampaikan nasihat itu ialah perdana menteri yang dilantik oleh YDPA menurut budi bicara baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dari sudut politik, kacamatanya mungkin berbeza kerana di sana melibatkan banyak perkiraan lain. Perdana menteri boleh sahaja menasihati YDPA untuk membubarkan Parlimen bagi memuaskan hati semua pihak. Keputusan itu terletak pada bukan sahaja pada perdana menteri, tetapi Jemaah Menteri.

Apa yang perlu diberi peringatan, setiap pihak perlu pada setiap masa patuh pada undang-undang, taat pada keluhuran Perlembagaan dan tidak sekali-kali menimbulkan keadaan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan rusuhan antara kaum. – 24 Februari, 2020.

* Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain adalah penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen