Kumpulan hak Melayu desak tahanan IS juga dibebaskan


Ramai antara 86 individu yang ditahan kerana kesalahan menyokong IS kerana menyimpan bendera IS dan kesalahan sama dibuat tertuduh LTTE, kata Kumpulan Desak Sampai Mansuh. – Gambar AFP, 22 Februari, 2020.

SELEPAS peguam negara memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh berkaitan dakwaan menyokong kumpulan pengganas Sri Lanka, kumpulan Melayu Islam kini turut meminta pembebasan suspek Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (IS) yang ditahan polis.

Kumpulan Desak Sampai Mansuh yang mewakili tahanan Melayu Islam yang ditahan di Penjara Tapah, Perak berkata ramai antara 86 orang yang ditahan adalah kerana memiliki bendera IS atau gambar Syria. 

Mereka berdepan pertuduhan serupa di bawah Kanun Keseksaan seperti 12 tertuduh yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata kumpulan itu. 

“Kami menggesa kerajaan mansuhkan akta Sosma ini dan memberi kebebasan kepada kesemua tahanan Melayu Islam yang telah dijatuhkan hukuman,” kata Pengerusinya Mahathir Abdul Rahman dalam satu kenyataan, merujuk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma yang tidak membenarkan ikat jamin.

“Dalam gerakan kami terdapat ramai Melayu Islam yang telah ditahan kerana hanya memiliki bendera IS (kalimah lailahaillah), dituduh menyembunyikan maklumat, memiliki gambar-gambar dari Syria.

“Kesemua ini adalah merupakan kesalahan yang sama dengan 12 orang yang ditahan berkaitan LTTE ini dan kesemua mereka ini rata-rata ditahan dibawah seksyen 130J(1) dan 130JB(1) Kanun Keseksaan menggunakan prinsip-prinsip yang sama dan mereka telah ditahan dan dihukum dengan amat zalim sekali.

“Kesemua tahanan Melayu Muslim ini tidak tahu pun yang memiliki gambar-gambar dari internet ini secara autodownload adalah merupakan kesalahan di bawah Akta Sosma. Jika benarlah ia satu kesalahan, kenapa ia tidak diuar-uarkan oleh pihak berkuasa?”

Sementara itu, Exo Pemuda Bersatu Muzzamil Ismail juga mempersoalkan keputusan peguam negara, meminta ia diguna pakai kepada penyokong kumpulan pengganas lain seperti IS dan Al-Maunah.

“Adakah mereka juga berhak meminta untuk digugurkan kes?

“Perkara lain yang lebih besar adalah persepsi rakyat terutama orang Melayu Islam terhadap kerajaan sekarang semakin menurun kerana keputusan-keputusan sebegini yang dilihat berat sebelah dan disebabkan agenda-agenda tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan Peguam Negara Tommy Thomas menghentikan prosiding LTTE semalam kini mendapat kecaman banyak kumpulan hak Melayu Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

Pemimpin Pemuda Bersatu itu juga mendakwa keputusan Peguam Negara Tommy Thomas menyebabkan kewibawaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin kini dipersoal. 

Thomas dalam pengumuman menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh berkaitan kesalahan menyokong LTTE itu semalam menjelaskan ia dibuat menggunakan budi bicara kuasanya selaku peguam negara kerana tidak wujud prospek jelas mereka akan disabitkan bersalah ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan.

Beliau turut meminta menteri dalam negeri menyemak semula gazet kumpulan pengganas setiap enam bulan seperti diperuntukkan undang-undang kerana LTTE sudah bubar sejak 2009 lagi.

Bagaimanapun, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata tindakan Tommy patut dicabar di mahkamah bagi mengekangnya daripada menggunakan kuasanya “tanpa pertimbangan perundangan yang tepat”.

Presiden PPMM Zainul Rijal Abu Bakar juga mendesak Thomas untuk meletak jawatan, dan sekiranya gagal berbuat demikian mereka akan memohon campur tangan Yang DiPertuan Agong untuk menggantikan Thomas dengan seseorang “yang lebih telus”.

“Sekiranya beliau enggan, PPMM merafak sembah kepada Yang DiPertuan Agong atas nasihat perdana menteri agar menggantikan peguam negara yang lebih berkemampuan dan telus di dalam melaksanakan tanggungjawabnya.”

Lebih banyak protes terhadap keputusan Thomas dijangka diadakan, dengan kumpulan penaung hak Melayu Islam, Pembela, akan mengadakan sidang media mengenainya pada Isnin ini.

Antara 12 tertuduh yang terkait kes LTTE itu adalah ahli DAP, termasuk Adun Seremban Jaya G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran. – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen