Alat kesan orang mabuk perlu disedia di pusat hiburan, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dengan cara itu, pengusaha pusat hiburan boleh mencadangkan kepada pelanggan yang mabuk supaya menjadi penumpang dan tidak memandu kenderaan.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

POLIS Kuala Lumpur akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pemilik pusat hiburan untuk memastikan alat mengesan kadar alkohol dalam badan disediakan di premis terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) Zulkefly Yahya berkata ia satu langkah mengelakkan pelanggan yang mabuk memandu kenderaan.

“Ini adalah cadangan dari pihak JSPT KL bagi mengelak lebih banyak kenderaan berlaku akibat pemandu mabuk ini.

“Ini kerana hampir setiap hari ada lima atau enam pemandu mabuk yang ditahan di Kuala Lumpur.

Zulkefly menjelaskan, dengan cara itu, pengusaha pusat hiburan boleh mencadangkan kepada pelanggan yang mabuk supaya menjadi penumpang dan tidak memandu kenderaan.

“Atau gunakan pengangkutan awam jika mendapati kandungan alkohol dalam badan sudah tinggi. Ia bagi mengelak daripada disaman pihak berkuasa dan sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Tambahnya, seramai 158 orang ditahan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol sejak operasi dijalankan setiap hari pada awal tahun ini.

Daripada jumlah itu, 118 kes telah dituduh di mahkamah dan 40 kes masih dalam siasatan polis.

Kemalangan membabitkan pemandu mabuk pula hanya satu kes di ibu negara pada tahun lalu dan tiga kes pada 2018, katanya.

Zulkefly berkata, pada 2019 seramai 828 individu telah ditahan atas kesalahan sama, manakala 735 individu telah ditahan pada 2018.

Tambahnya, ada kes pemandu sengaja enggan memberi kerjasama ketika ujian pernafasan diadakan dengan sangkaan boleh bebas daripada tindakan undang-undang.

Namun langkah itu silap kerana terdapat tiga tahap pemeriksaan yang mampu dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya kandungan had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas yang dikesan melalui ujian nafas.

Selain itu pihak berkuasa boleh memeriksa had yang dibenarkan sehingga 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah dan 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing, katanya.

“Selepas menjalani pemeriksaan awal, mereka akan dibawa ke ke balai JSPT KL untuk pemeriksaan lanjut sebelum diperiksa semula dengan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

“Mesin EBA akan mengeluarkan slip bacaan alkohol yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah. Jika pemandu berkenaan gagal menjalani kedua-dua ujian, baru sampel darah dan ujian air kencing ini diambil,” katanya.

Zulkefly berkata, pengambilan minuman beralkohol atau arak dikenal pasti antara punca kemalangan tertinggi di negara ini dan disebabkan itu, hampir 30 pegawai dan anggota dari JSPTKL ditugaskan untuk menjalankan operasi EBA setiap hari.

“Individu yang minum arak terutama dalam kuantiti yang banyak akan mabuk dan dalam keadaan kurang normal. Oleh itu, apabila mereka memandu, risiko mereka terbabit dalam kemalangan adalah tinggi.

“Ops EBA ini bukan saja bagi mengesan mereka memandu dalam keadaan mabuk tetapi juga bagi mengurangkan kemalangan berpunca daripada pemanduan dalam keadaan mabuk.

“Banyak kes membabitkan motosikal yang dilanggar kenderaan besar berpunca daripada faktor ini,” katanya. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen