Madinah mahu projek solar mula sebelum bersara, kata peguam Rosmah


Ravin Palanisamy

Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad terdesak mahu kontrak projek solar hibrid diberi kepada Jepak Holdings Sdn Bhd sebelum bersara, kata peguam Akberdin Abdul Kader. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Februari, 2020.

PEGUAM bela Rosmah Mansor mendakwa bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad terdesak mahu kontrak projek solar hibrid diberi kepada Jepak Holdings Sdn Bhd sebelum bersara.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata, walaupun Madinah mendakwa telah mematuhi arahan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah supaya mempercepatkan projek itu, tetapi Madinah sebenarnya mahu ia dimulakan sebelum beliau bersara.

Akberdin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa hari selepas Surat Niat (LOI) dikeluarkan pada 29 Ogos 2016, Madinah menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta dana tambahan bagi projek solar hibrid dan surat anugerah kontrak kepada Jepak Holdings.

Peguam itu menyifatkan permintaan Madinah pada hari terakhir perkhidmatannya (2 Spetember 2016) sebagai “luar biasa”.

Akberdin: Kamu setuju jika saya katakan bahawa kamu tulis surat meminta dana tambahan dan meminta surat anugerah kontrak diberi kepada Jepak Holdings pada hari terakhir kamu berkhidmat. Ini luar biasa.

Madinah: Tidak setuju.

Akberdin: Dalam kenyataan saksi kamu, kamu kata PM (perdana menteri) desak kamu dengan projek ini (supaya dipercepatkan) tetapi pada hari terakhir perkhidmatan kamu, kamu tulis surat itu dan tandatangan. Jadi, saya katakan bahawa kamu yang menggesa projek itu, bukan PM.

Madinah: Saya tak menggesa. 

Rosmah, 69, dihadapkan dengan tiga tuduhan rasuah iaitu meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin sebagai habuan membantu syarikat itu mendapatkan kontrak projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017.– 19 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen