Wartawan sambilan maut ditembak di Somalia 


SEORANG wartawan sambilan radio dan televisyen Somalia ditembak mati oleh lelaki bersenjata tidak dikenali dalam satu kejadian pada Ahad di bandar Afgoye di rantau Lower Shabelle, lapor agensi berita Anadolu.

Kumpulan hak asasi media dan presiden Somalia mengutuk pembunuhan Abduwali Ali Hassan, juga dikenali Abduwali Online, berusia 25 tahun, bapa kepada dua orang anak.

Sindiket Persatuan Wartawan Somalia (SJS), sebuah kesatuan sekerja wartawan sambilan, ditubuhkan pada Mei 2019 oleh wartawan profesional, turut mengutuk pembunuhan itu.

Afgoye terletak 30 kilometer dari barat daya ibu kota Mogadishu.

Gabenor wilayah Lower Shabelle, Ibrahim Adan Najah, berkata polis turut menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Ia kes pembunuhan pertama pada tahun ini, beberapa hari selepas Amnesty International mengatakan sekurang-kurangnya lapan wartawan di Somalia terbunuh sejak 2017 manakala lapan yang lain melarikan diri dari negara itu. – Bernama, 17 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen