Perlu bijak bezakan bahan bacaan pada era digital, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melihat buku yang dipamerkan selepas merasmikan program Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Februari, 2020.

PEMBACA perlu bijak membezakan bahan bacaan dalam era digital yang kini menjadi gelanggang penyebaran berita palsu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata sumber bacaan daripada bahan digital itu perlu dibezakan kerana kandungan berita palsu itu akan merosakkan masyarakat.

“Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu ‘fake news’ dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat.

“Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini, untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasilkan melalui kajian dan yang dicipta secara picisan,” kata Dr Mahathir.

Beliau menyatakan kebimbangan itu ekoran penyebaran begitu banyak berita palsu mengenai koronavirus baharu Covid-19 dalam negara.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata pengaruh bahan digital kini begitu besar sehingga bahan bacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan masyarakat.

Malah, katanya banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan mereka merosot.

“Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca, yang berubah ialah sumber pembacaan.

“Malah, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan secara digital.

“Daripada segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya,” katanya.

Beliau yang juga pemangku menteri pendidikan berkata demikian ketika melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. – 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen