Waris ratapi kematian mangsa insiden tembakan di Thailand


Waris Rachanon Kanchanamethee, seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang ditembak mati dalam insiden tembakan di pusat membeli-belah Nakhon Ratchasima, Thailand. – Gambar fail EPA, 10 Februari, 2020.

WARIS 29 individu yang dibunuh oleh seorang tentera mengamuk di Thailand mengadakan upacara keagamaan pada Isnin ketika banyak persoalan berlegar mengenai bagaimana dan mengapa kejadian tembakan yang tidak pernah berlaku itu terjadi.

Sambil memegang potret mangsa dan menangis, keluarga mangsa tiba di sebuah rumah mayat di Nakhon Ratchasima atau lebih dikenali sebagai Korat, untuk membawa pulang keranda.

Pembunuh mengamuk pada petang Sabtu dengan senjata yang dicuri dari berek tentera selepas menembak pengawal depoh Mehta Lertsiri, 22.

“Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya,” kata datuk Mehta, Udom Prapotsang, di luar rumah mayat ketika menunggu untuk menuntut mayat cucunya.

“Anak lelakinya yang berumur empat tahun terus bertanya mengapa dia tidak boleh menelefon ayahnya.”

Ratusan bunga dan mesej ucapan takziah diletakkan di luar pusat membeli-belah, lokasi insiden yang menakutkan pada malam Sabtu lalu.

Kejadian berlangsung selama kira-kira 17 jam apabila pembunuh dengan senjata automatik yang menyaksikan ratusan pengunjung pusat membeli-belah itu terperangkap dengan bersembunyi di tandas, bilik stor dan bawah meja.

“R.I.P. Korat, kami tidak akan lupa,” kata salah satu mesej takziah ditinggalkan di luar Terminal 21 di bandar timur laut.

Seorang lelaki bersenjata - Jakrapanth Thomma - ditembak mati oleh unit komando pada pagi Ahad, mengakhiri insiden amukan yang mengorbankan 29 nyawa dan kecederaan kepada puluhan yang lain.

Seorang sami Buddha mengetuai upacara keagamaan di luar pusat membeli-belah bagi Peeraphat Palasan, yang ditembak mati ketika suspek melepaskan tembakan di jalan raya, membunuh jurutera berusia 25 tahun itu dan menyebabkan keretanya kemalangan.

Ayahnya, Witoon, adalah di antara puluhan mereka yang hadir dan berdoa.

“Anak saya baru saja selesai kerja dan datang ke sini untuk membeli-belah,” kata Witoon. 

“Saya tidak sangka akan kehilangannya begitu cepat.”

Ketika Korat - dan negara - berkabung, terdapat banyak persoalan tentang mengapa individu bersenjata itu melakukan pembunuhan kerana berdepan masalah peribadi dengan seorang pegawai kanan dan bagaimana dia dapat mencuri senjata, termasuk senapang M60, dan ratusan butir peluru. – AFP, 10 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen