Kerajaan pertimbang pakej rangsangan ekonomi, kata Dr Mahathir


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata industri pelancongan merupakan sektor paling terjejas akibat penularan koronavirus kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kempen TMM2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

KERAJAAN sedang menimbang melancarkan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat daripada penularan pantas novel koronavirus 2019, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata industri pelancongan merupakan sektor yang paling terjejas akibat daripada penularan virus itu kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Justeru katanya, kerajaan telah merangka rancangan untuk mengurangkan impak koronavirus ke atas ekonomi.

“Sewaktu kita mengumumkan kempen tersebut, kita tidak menjangkakan penularan coronavirus ini. Tetapi sekarang kita perlu menghentikan penerbangan ke beberapa kawasan di China,” katanya semasa sesi soal jawab bersama syarikat multinasional Perancis, di Putrajaya, hari ini. 

Dr Mahathir berkata pelancong China menyumbang bahagian yang besar daripada pasaran pelancong oleh itu keseluruhan industri akan berdepan dengan impak ekoran ketiadaan mereka akibat penularan virus tersebut.

Dilaporkan syarikat penerbangan seluruh dunia termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan banyak penerbangan ke dan dari China di tengah-tengah kebimbangan terhadap koronavirus.

Setakat hari ini lebih 900 kematian akibat coronavirus direkodkan dengan lebih 40,000 kes disahkan dicatatkan di seluruh dunia. 

Sementara itu mengenai pengambilalihan Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata kerajaan masih belum memutuskan siapa yang akan mengambil alih syarikat penerbangan nasional itu.

Sebelum ini media melaporkan beberapa syarikat penerbangan menunjukkan minat untuk mengambil alih Malaysia Airlines. – Bernama, 10 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen