Perihal Murugesu, anak muda rajin bekerja


Zainal Rashid Ahmad

KAMI bertemu di lombong terbiar di belakang Flat Sri Johor, Jalan Cheras, Kuala Lumpur. 

Sesekali turun memancing dan mengejar ikan betuk memang menyeronokkan. Betuk spesis yang mengelirukan. Tanpa pengalaman hidup di kampung, betuk akan disangka ikan puyu.

Tepat 7 pagi saya sampai di pintu tali air berdekatan kawasan belakang Flat Sri Johor.

Seorang pemuda India sudah awal-awal siap memancing. Seperti selalu, pemancing ada lingo dalam memulakan perbualan.

“Banyak hasilkah?” Tanya saya: “Atau membangau?”

Membangau ialah istilah tiada hasil pancingan kerana ikan tidak mahu makan.

“Tilapia saja banyak kacau, pakcik,” jawab seorang remaja India.

“Pakai umpan apa? Tanya saya.

“Cacing,” jawab remaja itu.

Saya menuruni cenuram dengan hati-hati. Remaja India itu memancing sendirian dan saya juga suka lokasi tepi tali air.

Ikan betuk suka berlindung di bawah teduh bayangan tembok pada waktu pagi.

“Saya ada ulat burung,” kata saya.

Melihatkan bekas plastik yang dipenuhi ulat burung, remaja India itu mengerutkan muka.

“Saya cari betuk,” kata saya.

“Betuk?”

“Ya…,” jawab saya.

Kami berkenalan. Namanya Murugesu. Dia anak kelahiran Flat Sri Johor berusia 21 tahun. Bekerja sebagai “runner” alat ganti kereta untuk bengkel-bengkel pomen di sekitar Cheras.

Lama berbual saya terus bertanya: “Bahasa Melayu kamu baik sekali. Siap tahu nama-nama ikan… temeras, sepat, sepat siam dan kaloi.”

“Saya kawan sini semua ada. Dulu main bola sini campur Melayu dan India,” katanya.

“Kawasan flat Sri Johor orang kata tempat gengster India,” kata saya, sambil memancing sambil mencari bahan tulisan.

“Mana ada,” jawab Murugesu: “Semua orang cakap macam itu. Sama macam orang kata, flat Sri Sabah dan Sri Pulau Pinang banyak samseng Melayu.”

Saya tersenyum.

“Pakcik, sekarang gengster mana ada duduk rumah flat. Gengster kaya-kaya, mereka beli kondo,” kata Murugesu.

Saya tersengih. Betul-betul di seberang lombong kelihatan tiga barisan kondo. Saya tersenyum kerana di situ rumah saya.

Tentunya saya bukan gengster.

Samseng bukan pilihan, demi rezeki keluarga

Kami duduk berbual dan saya mengajar Murugesu teknik memancing betuk, termasuk memilih saiz mata kail yang sesuai serta memasang saiz batu pemberat mengikut jenis tali pancingnya.

Sambil itu, saya menyebut berapa nama pemuda Melayu yang lebih senior dan terkenal kerana sikap samsengnya di sekitar Perumahan Cheras.

Murugesu kenal ramai antaranya.

“Cuma saya tak campur, pakcik. Lepas sekolah saya terus kerja. Keluarga saya bukan orang senang. Ayah kerja bawa teksi dan emak ambil upah jaga anak orang di rumah,” kata Murugesu.

“Jadi “runner” alat ganti bolehlah hidup. Saya dah cuba banyak kerja lepas sekolah. Kerja “runner” enam hari seminggu. Cuti hanya hari Ahad,” katanya.

Saya menyebut pula beberapa nama samseng India sekitar Cheras. Murugesu geleng kepala.

“Sekarang samseng selalu dianggap berkaum-kaum,” kata saya.

“Sama saja. Samseng apa kaum pun orang tak suka. Polis tangkap semua samseng tak kira kaum, pakcik,” kata Murugesu.

Saya menganggukkan kepala.

“Saya tak berani buat kerja jahat. Saya sanggup kena kerja siang malam, pak cik. Cari wang bagi emak. Hobi pun memancing saja. Itu pun umpan pakai cacing. Mana ada duit beli ulat burung,” jawabnya.

Saya ketawa. Dia juga ketawa.

Tamat SPM tapi kerja rajin

Saya tidak pernah tahu kehidupan “runner” alat ganti kereta.

Walaupun tahu kerja asasnya ialah mendapatkan barangan alat ganti di gudang kereta potong untuk kegunaan bengkel pomen.

“Saya kerja dengan enam kedai pomen sekitar Cheras. Mana-mana pomen telefon, saya segera pergi gudang cari dan ambil alat ganti,” katanya.

Upahnya antara RM20 ke RM30 per hantaran. Purata gaji Murugesu sekitar RM2 ribu sebulan.

“Saya pakai motosikal. Pomen cari saya hanya untuk ambil alat ganti yang sesuai dibawa guna motosikal,” katanya.

Selepas tamat SPM, Murugesu sedar masa depannya tertutup untuk melanjutkan pelajaran. Dia nekad bekerja kerana keterdesakan hidup keluarga.

“Mula-mula kerja despatch, free lance. Tapi susah nak bersaing sebab saya budak baru,” katanya.

Selepas gagal sebagai despatch, Murugesu bekerja sebagai kalendan pembantu lori yang membawa peralatan alat tulis.

Gaji kecil menyebabkan dia berhenti. Sekarang sudah dua tahun sebagai runner alat ganti, kerja tersebut terasa memadai.

Gaji yang diperolehi dapat membantu keperluan diri dan keluarga. Tiga adiknya masih bersekolah.

“Saya tak merokok, tak pergi mall, tak main snuker dan tak lepak kafe siber. Waktu cuti, saya hanya merayau pancing ikan keliling lombong,” ceritanya ramah.

Tiga ekor betuk sudah mengena mata pancing saya. Murugesu kembali menumpukan pada ikan tilapia.

Dia agak bosan setelah sukar menyesuaikan diri dengan teknik memancing betuk yang memerlukan kecekapan mengawal sentapan batang pancing.

“Saya suka makan tilapia. Satu keluarga suka makan tilapia goreng,” kata Murugesu.

Sekarang saya faham. Anak muda ini rajin bekerja. Tidak pedulikan kehidupan samseng atau gengster.

Malah, hobi Murugesu memancing pun bukan sekadar suka-suka. Ikan tilapia masih ada kaitan dengan keluarga.

Saya melihat padanya. Saya bangga kerana dia anak muda generasi Z kelahiran ibu kota. Namun, sikap kekeluargaannya sangat menambat pesona. – 9 Februari, 2020. 
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen