Umno tiada pilihan, kata penganalisis politik


SM Amin

Umno terpaksa membuat keputusan menyokong Dr Mahathir Mohamad atau berdepan risiko dilihat tidak sehaluan dengan PAS, selepas kerjasama mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

UMNO tiada banyak pilihan selain menyokong Dr Mahathir Mohamad selepas sekutu politiknya PAS secara terbuka menyatakan dukungan kepada perdana menteri untuk kekal memegang jawatan sehingga tamat penggal, kata penganalisis politik.

Kata mereka, Umno terpaksa membuat keputusan begitu atau berdepan risiko dilihat tidak sehaluan dengan parti Islam itu, selepas dua parti Melayu itu mengikat kerjasama tidak sampai enam bulan lalu.

Mereka juga melihat keputusan Umno itu nanti akan berpaksi pada soal perpaduan Melayu-Islam, dan bukannya pertuduhan jenayah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin parti.

“Umno perlukan PAS. Tanpa PAS, Umno akan lemah. Dr Mahathir pula sedar Bersatu tidak dapat bertahan tanpa sokongan orang Melayu,” kata pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaysia Kelantan Prof Dr Abdul Halim Sidek pula berkata Umno kini dilihat sukar untuk bangkit semula tanpa sokongan PAS.

“Tanpa sokongan PAS, Umno tidak boleh bangkit seperti yang kita lihat pada hari ini. 

“Kerjasama dengan PAS ini yang membersihkan nama Umno dan menjadikan parti itu lebih dipercayai,” katanya.

Mereka mengulas perkembangan terbaru minggu ini yang membayangkan ada percaturan politik sedang diatur melibatkan Umno dan PAS serta Bersatu dan komponen Barisan Nasional (BN).

Percaturan itu membayangkan kemungkinan sebuah kerajaan baharu tanpa Anwar Ibrahim dan sebahagian penyokongnya daripada PKR, dan DAP.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi gambaran kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan Dr Mahathir dan partinya Bersatu demi survival dan masa depan Umno sendiri.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam pada Isnin lalu.

Menurut Lokman, Zahid memberikan beberapa alasan kenapa Umno perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Bersatu, antaranya kerana PAS sendiri sudah berbuat demikian dan Umno tidak boleh ketinggalan.

Mazlan dalam pada itu melihat ada dua kemungkinan kenapa idea mewujudkan pakatan baharu ini timbul. 

Pertama, Dr Mahathir cuba melemahkan kerjasama politik Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional yang dilihat sangat utuh seperti yang ternampak dalam beberapa pilihan raya kecil, atau kedua, beliau cuba menghantar isyarat politik kepada DAP.

“Dr Mahathir cuba memberi isyarat kepada DAP bahawa beliau mempunyai pilihan lain. 

“Kalau DAP terus membuat tuntutan yang bersifat cauvinis, Dr Mahathir terpaksa ambil pilihan lain,” katanya.

Bagi Halim, kerjasama tersebut tidak mustahil dapat direalisasikan kerana parti yang terlibat mempunyai matlamat yang sama iaitu menyingkirkan DAP daripada terus menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“PAS menyokong (Dr Mahathir) kerana tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri dan membiarkan DAP terus berkuasa.

“Dengan kekuatan yang ada pada Muafakat Nasional, tiada keperluan untuk bekerjasama dengan Bersatu kecuali dapat menyingkirkan DAP daripada kerajaan,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, PAS secara terbuka mengumumkan pendiriannya mahu Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 2023.

Umno pula melalui mesyuarat Majlis Tertinggi pada 24 Julai 2019 mengambil ketetapan hanya presiden parti diberi mandat untuk mewakili Umno jika terdapat mana-mana pihak daripada luar yang ingin mengadakan sebarang kerjasama dengan parti itu.

Ketetapan itu bagaimanapun bersyarat iaitu Umno tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti terutama parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP.

Walaupun sentimen akar umbi Umno dan rakyat sangat negatif terhadap cadangan tersebut, Halim yakin akhirnya dapat diterima apabila Umno menjalakan siri penerangan dan penjelasan mengenainya.

“Masyarakat akan menerima bila penerangan diberikan dan bila mereka melihat anggota Kabinet diisi oleh mereka yang berpengalaman. Sebelum ini Dr Mahathir mempunyai pilihan yang amat terhad. 

“Sekiranya terjadi, saya yakin akan berlaku perubahan yang tinggi kepada perpaduan nasional dan juga ekonomi negara,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan akan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad demi survival dan masa depan Umno sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

Suara akar umbi

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Selangor Amin Mohd Syukor mahu apa jua keputusan yang akan diambil oleh Majlis Tertinggi Umno hari ini mengambil kira suara akar umbi dan rakyat.

Majlis Tertinggi Umno dijadual bermesyuarat pada 3 petang ini, antara lain membincangkan cadangan kerjasama dengan Bersatu yang dilontarkan oleh Zahid.

“Bagi saya ahli, rakyat dan masyarakat adalah keutamaan asas yang perlu sentiasa di hati… perlu didengar dan diraikan pandangan, buah fikiran serta pendapat mereka.

“Walaupun konsensus pentadbiran menjadi pegangan, tetapi tanpa sokongan yang di bawah maka tiadalah barisan kepimpinan yang diamanahkan,” katanya.

Bagaimanapun, Amin menyifatkan sebarang usaha untuk membentuk kerajaan yang menafikan suara rakyat – sebagaimana yang sewajarnya dalam sebuah sistem demokrasi – sebagai satu pengkhianatan.

Beliau senada dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menegaskan pembentukan kerajaan pintu belakang akan menjejaskan keyakinan umum kepada proses demokrasi.

Mohamad juga memberi amaran Umno akan sekali lagi dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang kerana rakyat tidak akan merestui sebarang usaha membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menggesa semua pihak agar bersabar dan tidak cepat membuat kesimpulan kerana parti belum pun lagi memutuskan cadangan tersebut.

“Kita jangan terus melompat. Jangan buat tuduhan liar sebab saya sendiri pun tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai idea tersebut.

“Saya minta semua pihak bertenang dan menunggu hasil mesyuarat (hari ini). Mungkin akan dibentangkan atau dibangkitkan perkara itu,” ujarnya. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen