Malaysia tidak berisiko alami kemelesetan, kata Guan Eng


MALAYSIA tidak berdepan sebarang risiko untuk mengalami kemelesetan walaupun kerajaan berhasrat melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, pakej yang diumumkan susulan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) itu lebih bertujuan untuk memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah mampan.

Tanpa mendedahkan tarikh pengumuman pakej tersebut, beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan wakil sektor yang paling terjejas bagi mengumpulkan maklumat.

Ditanya sama ada pakej rangsangan itu akan meliputi aspek seperti rebat cukai dan pengurangan kos tenaga, Lim berkata : “Semua ini akan diambil kira dan dipertimbangkan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Surat Penamatan Bersama yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan DanaInfra Nasional Bhd melibatkan bahagian Sarawak bagi Lebuhraya Pan-Borneo serta surat penamatan bersama bagi membatalkan perjanjian pembiayaan projek terdahulu.

Dalam satu kenyataan semalam, Lim berkata Kementerian Kewangan amat prihatin dengan penularan koronavirus yang telah memberi kesan kepada ekonomi secara amnya dan sektor pelancongan Malaysia secara khususnya.

“Kementerian Kewangan telah dipertanggungjawabkan oleh Kabinet untuk merancang pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak ekonomi akibat kesan penularan koronavirus ini yang akan diumumkan pada satu tarikh kelak,” katanya. – Bernama, 6 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen