GPS tuntut satu pertiga kerusi Dewan Rakyat


Desmond Davidson

Abang Johari Openg berkata pihaknya mahu pendirian mereka itu diambil kira sebagai sebahagian usaha pembaharuan dalam pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2020.

KERAJAAN gabungan Sarawak hari ini menyatakan pendirian tegas bahawa pembaharuan pilihan raya yang diusulkan perlu melibatkan pemberian lebih satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada mesyuarat majlis tertinggi pertama tahun ini, berkata peruntukan kerusi itu perlu dikembalikan mengikut perbincangan sebelum pembentukan Malaysia yang sebelum ini mahu menghalang Tanah Melayu daripada secara uniteral meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata langkah kembali kepada perbincangan sebelum pembentukan Malaysia akan memberi kepercayaan kepada ‘doktrin wilayah’.

“Dua pertiga tidak perlu terhad di satu kawasan sahaja,” kata Abang Johari merujuk kepada majoriti kerusi Dewan Rakyat yang kini dikuasai Semenanjung Malaysia.

“Jika mereka mahu meminda Perlembagaan, mereka perlu mendapatkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.”

Abang Johari yang juga merupakan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengetuai GPS, berkata pihaknya mahu pendirian mereka itu diambil kira sebagai sebahagian usaha pembaharuan tersebut.

Dalam perbincangan sebelum membentuk Malaysia, peruntukan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura.

Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi republik itu diserahkan kepada Tanah Melayu.

Pada masa kini, Sarawak memiliki 31 kerusi dan Sabah 25 kerusi, kurang 18 kerusi daripada 74 kerusi yang diperlukan untuk mencapai satu pertiga daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Menurut rekod, Parlimen pertama Persekutuan Malaysia pada 1963 mempunyai 159 anggota dengan Tanah Melayu diwakili 104 ahli Parlimen, Singapura (15), Sabah (16) dan Sarawak (24).

Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Singapura, Sarawak dan Sabah adalah 55 orang atau bersamaan 34.6%, lebih sedikit daripada satu pertiga.

Abang Johari berkata dengan kedudukan Semanjung Malaysia memiliki lebih dua pertiga kerusi Dewan Rakyat, mereka boleh meminda Perlembagaan tanpa berunding dengan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Sabah bersetuju dengan pendirian Sarawak selepas kedua-dua negeri mengadakan rundingan.

Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya ditubukan oleh kerajaan pada Ogos 2018 dengan dipengerusikan oleh Rashid Abdul Rahman, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa itu dianggotai 20 ahli dan diberi masa dua tahun untuk melakukan kajian sebelum membentangkan kepada Kabinet tentang pembaharuan yang perlu dilaksanakan.

Usul pembaharuan itu akan dihantar pada tahun ini. – 6 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen