KPDNHEP Terengganu rampas pakaian tiruan bernilai RM19,985


Jenama tiruan Adidas menjadi pilihan pembeli kerana harganya yang lebih murah dari produk asli. – Gambar EPA, 5 Februari, 2020.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu merampas sebanyak 571 helai pakaian sukan tiruan berjenama ‘Adidas’,  bernilai RM19,985 di dua buah premis perniagaan semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Terengganu, Nor Azmi Lamisza berkata, melalui Ops Jeriji yang dijalankan di premis perniagaan di Jalan Kuala Berang dan Bukit Payong itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 34 dan 46 tahun, yang masing-masing merupakan pemilik premis-premis tersebut.  

“Hasil pemeriksaan di premis pertama di Jalan Kuala Berang, pihak KPDNHEP merampas sejumlah 139 helai baju jersi dan 192 helai seluar yang dipakaikan cap dagangan secara salah dengan nilai rampasan dianggarkan RM11,585. Manakala sejumlah 240 helai seluar dirampas di premis kedua yang terletak di pekan Bukit Payong dengan anggaran nilai sitaan RM8,400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan dan aduan daripada pemilik cap dagang, yang kemudiannya berjaya membongkar aktiviti tidak beretika kedua-dua peniaga tersebut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 100(1)(ii) di bawah akta yang sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. 

Nor Azmi  turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih pakaian berjenama dalam pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah. – Bernama, 5 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen