3 orang awam maut, tentera Haftar serang selatan Tripoli


Sejak kematian pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011, Libya berpecah dua iaitu pentadbiran di Libya timur disokong Mesir dan UAE, satu lagi di Tripoli ditadbir kerajaan diiktiraf antarabangsa dan PBB. – Gambar AFP, 5 Februari, 2020.

TENTERA yang setia kepada komander Khalifa Haftar membunuh sekurang-kurangnya tiga orang awam termasuk dua kanak-kanak, lapor agensi berita Anadolu.

Militia Haftar menyasarkan kawasan kediaman di selatan Tripoli, menurut pasukan yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Empat lagi cedera dalam serangan itu.

Walaupun Persidangan Berlin di Libya pada 19 Januari menggesa gencatan senjata yang berkekalan di negara dilanda peperangan, pasukan Haftar masih terus melancarkan serangan. 

Sejak kematian pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011, Libya berpecah dua: pentadbiran di Libya timur disokong Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu lagi di Tripoli ditadbir kerajaan yang diiktiraf antarabangsa dan PBB.

Sejak April lalu, kerajaan yang sah di Libya telah diserang pasukan tentera Haftar, mengorbankan lebih 1,000 orang.

Pada 12 Januari, pihak yang bertelagah di Libya mengumumkan gencatan senjata sebagai tindak balas kepada gesaan Turki dan Rusia.

Namun, rundingan mengenai gencatan senjata yang berkekalan menemui jalan buntu selepas Haftar bertindak meninggalkan Moscow pada 14 Januari tanpa menandatangani perjanjian itu.

Pada Persidangan Berlin di Libya Haftar bersetuju untuk melantik pegawai bagi menganggotai suruhanjaya ketenteraan yang dicadangkan PBB. Kedua-dua pihak masing-masing akan diwakili lima pegawai untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata. Keputusan itu merupakan hasil utama persidangan tersebut. – Bernama, 5 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen