MAHKAMAH Bangladesh menjatuhkan hukuman mati kepada 10 militan Islam pada Isnin kerana insiden pengeboman di perhimpunan parti komunis dua dekad lalu yang membunuh lima orang.
Pada Januari 2001, beberapa biji bom diletupkan di Dhaka pada mesyuarat Parti Komunis Bangladesh, dan polis menyalahkan cawangan Harkat-ul-Jihad al Islami (HUJI) yang diharamkan selepas penyiasatan berlangsung beberapa tahun.
Serangan itu adalah salah satu daripada beberapa siri dilakukan kumpulan militan yang anggotanya kembali ke Bangladesh daripada konflik di Afghanistan pada awal tahun 2000.
Pada Isnin, pendakwa raya Abdullah Abu memberitahu AFP yang 10 anggota HUJI disabitkan dan dijatuhi hukuman mati.
“Mereka melakukan pengeboman sebagai sebahagian daripada jihad mereka untuk menubuhkan kerajaan militan. Mereka mahu mencemarkan imej kerajaan sekular dan mewujudkan anarki,” katanya.
Dua ahli parti komunis yang dituduh terlibat dibebaskan.
Kumpulan pelampau Islam menyasarkan aktivis sekular, sederhana Muslim dan minoriti agama di Bangladesh sejak tahun 1990-an.
HUJI dan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) adalah dua yang paling menonjol. Kedua-duanya dipimpin oleh veteran dari konflik Afghan dan dipersalahkan bagi banyak kematian dalam serangan bom.
Seramai enam pemimpin JMB dihukum mati pada 2007 setelah didapati bersalah berhubung serangan bom yang diselaraskan pada Ogos 2005.
Ketua HUJI Mufti Abdul Hannan dan dua sekutu dihukum mati pada April 2017 kerana mengatur serangan pada 2004 di sebuah tempat keramat Sufi yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan pesuruhjaya tinggi British ke Dhaka. – AFP, 20 Januari, 2020.
Komen