Pakatan hilang sokongan anak muda, kata Pemuda Umno


SM Amin

PH hilang sokongan anak muda yang kini beralih kepada BN, kata para anggota exco pergerakan Pemuda Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) hilang sokongan anak muda yang kini beralih kepada Barisan Nasional (BN), kata para anggota exco pergerakan Pemuda Umno.

Kalangan pemimpin sayap itu berkata, peralihan sokongan itu dapat dilihat melalui peningkatan undi ketara di saluran pengundi muda dalam lima pilihan raya kecil (PRK) yang gagal dimenangi PH sejak 2018.

Salah seorang daripadanya, Bastien Onn yang berkata sokongan pengundi muda ke atas PH merosot dengan mendadak sejak lapan bulan parti itu mentadbir Putrajaya dan beralih kepada BN.

Peningkatan undi yang dilihat luar biasa itu berlaku kerana kerajaan gagal memberi alasan di sebalik kegagalan menunaikan janji dalam manifesto PRU14, kata Bastien.

Katanya, golongan itu tidak dapat lagi menerima pujukan pemimpin kerajaan untuk bersabar dalam melihat hasil pembaharuan yang dijanjikan PH.

“Kesabaran rakyat berakhir dan sokongan mereka beralih kepada Barisan Nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut mengaitkan peralihan itu dengan kegagalan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman untuk mengekalkan sokongan orang muda.

“(Ketua Pemuda PH) Syed Saddiq gagal meyakinkan orang muda. Itu yang berlaku sekarang. Selagi mana beliau gagal, trend ini akan berterusan.

“Pemuda Umno akan terus memainkan peranan selaku suara orang muda untuk menuntut janji mereka dan akan diteruskan sehingga PRU15 demi menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Malaysia,” katanya.

Katanya, golongan ini tidak lagi dapat menerima alasan pemimpin kerajaan bahawa rakyat tidak sepatutnya mengharapkan keputusan segera kerana “takkanlah hari ini kahwin, esok dapat anak”.

Itulah yang menyebabkan PH kehilangan dalam lima daripada enam PRK yang dijalankan selepas lapan bulan menguasai Putrajaya.

Dalam PRK Cameron Highlands, BN memenangi 21 daripada 32 saluran orang muda manakala di PRK Semenyih parti itu menang 32 daripada 47 saluran pengundi muda.

PH tewas lima daripada enam PRK yang dijalankan selepas lapan bulan menguasai Putrajaya dengan terbaru di Kimanis yang kekal dipegang BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2020.

Penolakan anak muda terhadap PH semakin menyerlah dalam tiga PRK selepas itu iaitu di Rantau, Tajung Piai dan Kimanis di mana parti itu tewas di hampir semua saluran.

Di PRK Rantau, BN hanya tewas di dua saluran daripada 21 saluran anak muda. Dalam PRK Kimanis, BN juga hanya tewas satu saluran anak muda daripada 27 saluran yang ada.

Dalam PRK Tanjung Piai, BN menyapu bersih di semua 52 saluran anak muda yang menyaksikan bekas parti kerajaan itu menang dengan majoriti bergaya 15,086 undi.

Seorang lagi anggota exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata pengundi muda juga beralih menyokong BN kerana kerajaan gagal menyediakan peluang kerja dan mengurus ekonomi.

“Pengundi muda disajikan dengan sejuta pekerjaan, PTPTN nak dihapuskan tetapi yang berlaku hari ini yang dibuang kerja semakin ramai.

“Ekonomi semakin malap dan pelaburan asing semakin berkurangan. Atas faktor ini orang muda mula sedar,” katanya.

Bagaimanapun Mustafa berkata Umno dan BN tidak boleh berasa selesa dan perlu menyediakan tawaran baru bagi memastikan trend sokongan ini dapat dikekalkan sehingga PRU15 akan datang.

Selain itu, parti itu juga perlu memperkukuh kerjasama dengan rakan baharu mereka, PAS melalui Muafakat Nasional, kata Mustafa yang juga pengerusi Biro Komunikasi Strategik Pemuda Umno.

“Umno dan BN perlu menyediakan tawaran baru yang lebih realistik kepada pengundi untuk mengekalkan momentum ini, elakkan bergaduh sesama sendiri, perkuatkan Muafakat Nasional dan terus istiqamah.

“Kita juga mempunyai perancangan dan strategik untuk memperkuatkan barisan Pemuda dalam membongkar isu kelemahan kerajaan,” katanya.

Anggota exco Pemuda Umno Mohd. Fariz Abdul Hadi melihat perkembangan ini amat positif kerana anak muda sudah berani menunjukkan kuasa mereka untuk menentukan kerajaan.

Beliau juga yakin trend ini akan berterusan selagi mana PH terus gagal menunaikan janji dalam manifesto yang akan memberi ruang kepada anak muda untuk membuat penilaian.

“Anak muda akan menilai dan membandingkan antara kelebihan semasa pemerintahan kerajaan BN dan kelemahan yang jelas terbukti semasa pentadbiran kerajaan PH,” katanya.

Katanya, golongan itu akan melihat kebajikan rakyat diketepikan dan ekonomi negara semakin merudum yang memberi tekanan ekonomi dan kos sara hidup kepada rakyat.

Mengulas mengenai tawaran baharu Pemuda Umno, Fariz berkata beliau berharap pemimpin parti dapat mengemukakan calon baru di kalangan anak muda dalam PRU15 bagi mengekalkan sokongan.

“Pembangkang terutamanya Umno perlu memberi ruang kepada muka baru, bakat baru terutamanya pemimpin muda yang mempunyai idea yang lebih segar agar mampu ke depan.

“Mereka wajar diberi peluang untuk memimpin dan memegang jawatan penting agar peranan pemuda tidak diketepikan,” katanya. – 5 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen