Putrajaya pertimbang pakej rangsangan ekonomi, kata Azmin


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata pakej rangsangan ekonomi bertujuan meminimakan kesan penularan wabak koronavirus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2020.

PUTRAJAYA sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan ekonomi negara ketika berdepan penularan wabak koronavirus, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata pakej itu akan memberi keutamaan kepada keperluan orang ramai yang akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Azmin berkata kerajaan bersama agensi antarabangsa dan sektor swasta lain akan mengambil langkah proaktif berdasarkan fakta dan maklumat terbaru yang mengandungi kesan negatif wabak terhadap ekonomi Malaysia.

Kesan wabak terhadap ekonomi China mungkin turut menjejaskan ekonomi tempatan kerana ia merupakan rakan perdagangan terbesarnya.

Pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pendidikan, perkilangan dan pembinaan adalah sektor yang dijangka paling terkesan.

Sektor pelancongan yang menyumbang 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menyaksikan 26 juta pelancong tahun lepas, yang mana lebih 3 juta dari China.

Sektor pembuatan dan pembinaan yang juga bergantung kepada input dari China akan terjejas sekiranya negara itu melanjutkan tempoh kuarantin atau menutup lebih banyak bandar.

Kementeriannya memperuntukkan RM227 juta tahun ini untuk membeli peralatan perubatan dan keperluan lain untuk kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negara.

“Kementerian juga bersedia untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan. Kerajaan akan memberi keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan juga mengambil beberapa langkah berjaga-jaga sejajar dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk meningkatkan kesedaran semua pihak untuk mengatasi wabak ini.

“Rakyat juga dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan berita terkini daripada sumber rasmi Kerajaan, khususnya daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sehingga 1 Februari, virus itu meragut 304 nyawa dan menjangkiti 12,000 orang di 24 negara. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen