Jimat kos cetus kewartawanan 'durian mangkar'


Zainal Rashid Ahmad

WARTAWAN pelatih kini dianggap “abdi bertempoh” apabila mengadakan latihan praktikal di bilik berita.

Pada era bilik berita mengamalkan pengurangan kos tanpa had, pelatih diseret menjadi wartawan. 

Sekali gus mencipta kewartawanan “durian mangkar.”

Walaupun mengejar berita penting yang menentukan “hidup mati kebenaran maklumat” – wartawan pelatih dikerah ke barisan depan pemberitaan.

Kewartawanan kini dilayan sama seperti mengarahkan kerja yang memerlukan standard buruh asing.

Budaya mendapatkan wartawan dengan kos murah dan mudah kini menular seperti mencari buruh asing tukang cuci lantai di bilik berita.

Asal murah gajinya (bonus kalau dapat wartawan pelatih percuma), itu keutamaan bagi memastikan tiada beban kewangan dalam menjadikan maklumat kekal ada di kaca TV.

Ini prinsip “cost cutting”; mesej utama pengurusan Sumber Manusia terhadap bilik berita.

Hadirnya rejim “cost cutting” dengan misi menyembelih apa saja yang ada, satu budaya bisnes yang menjahamkan kredibiliti bilik berita.

Tiap yang berkos dikorbankan demi mencipta keuntungan mudah. Apa lagi ketika bisnes media massa kini digegarkan kemeruduman pendapatan iklan.

Tanggungjawab sosial sebagai obligasi utama pemberitaan “dilacurkan” pada tahap paling murah.

Semurah melanggan pondan tua di Belakang Mati.

“Kami gunakan apa saja yang ada. Pelantikan jawatan baharu dibekukan sejak sekian lama. Mana-mana wartawan yang berhenti tidak akan diganti. Ini polisi
Jabatan Sumber Manusia,” rungut editor berita stesen TV.

Rakan editor di media cetak pula meradang: “Sejak ratusan orang ditamatkan khidmat melalui VSS, hidup kami berantakan. Tenaga kerja dikurangkan 50% tetapi beban kerja bertambah kerana jumlah halaman akhbar kekal tebal.”

Operasi bilik berita TV dan akhbar masa kini mulai menuju zaman malap.

Mengekalkan kualiti kewartawanan dianggap satu beban.

Merendahkan kos operasi bilik berita antara survival mudah untuk menjana untung melalui kawalan kos.

Malah, kos operasi bilik berita dianggap terlalu tinggi dan tidak setimpal dengan pendapatan iklan.

“Pengurusan hanya berzikir soal kos, kos dan kos. Beban mengendalikan bilik berita dianggap macam menanggung biawak hidup,” kata editor kanan TV yang
sudah meninggalkan bilik berita.

Perasaan sakit hati dengan penghinaan pihak pengurusan terhadap intergriti bilik berita menyebabkan wartawan yang bermoral memilih untuk berambus.

Wartawan RM1,800 dan kontrak kerja bulanan

Selain penghinaan terhadap integriti bilik berita dengan tanggapan kos yang membebankan, pemodal dan pengurusan media juga bersikap sambil lewa dan merekrut wartawan.

Pemilihan wartawan bukan lagi berasaskan karektor dan kebolehan. Klasifikasi mudah ialah calon yang sanggup menerima gaji murah.

Selain itu, budaya khidmat secara kontrak bagi mengurangkan kos sumber manusia satu penghinaan bagi wartawan berbakat.

“Lapan tahun kerja dengan kontrak diperbaharui setiap tahun, satu penganiayaan,” kata wartawan stesen TV agensi kerajaan.

Walaupun menerima purata Penilaian Prestasi Tahunan pada Tahap Tiga (Baik) dan Tahap Empat (Amat Baik), syarikat tidak menawarkan jawatan tetap.

“Ini bagi mengelakkan wujudnya kos tambahan terutama insuran perubatan dan kebajikan lain.

Jadi, ramai wartawan kekal sebagai pekerja bertaraf kontrak,” katanya yang kini memilih menjadi pekerja bebas.

Manakala, mereka yang bertugas sebagai pengarang atau penerbit berita menanggung beban setiap kali syarikat merekrut wartawan baru.

“Kami bertukar wartawan terlalu kerap kerana ramai yang berhenti setelah gagal diserap sebagai pekerja tetap. Setiap kali merekrut wartawan baru, bajet
gaji sekitar RM1,800 sebulan,” kata penerbit stesen berkenaan.

Kekerapan menerima wartawan baru tanpa pengalaman menyebabkan proses mengatur tugasan liputan berita jadi huru-hara.

Wartawan “freshie” tidak mungkin dihantar melaporkan tugasan penting kerana tidak memiliki pengalaman.

“Apabila gaji yang ditawarkan rendah, kualiti mentaliti rekrut baru juga rendah. Pada hari pertama bertugas, calon sudah menganggap kerjan wartawan hanya
sementara,” kata penerbit yang sudah lebih sedekad berkhidmat.

Siapa yang mahu bekerja secara kekal dengan gaji RM1800 sebulan serta kontrak hanya enam bulan tanpa manfaat dan kebajikan?

Persoalan ini antara dilema pengurusan bilik berita.

Amalan “cost cutting” yang keterlaluan menyebabkan proses pengambilan wartawan dibuat secara sambil lewa.

“Anda menawarkan kacang, sudah tentu yang menerimanya hanya monyet,” komennya sinis.

Hari ini, sama ada di TV atau akhbar, berita hanyalah alat. Kakasan sekadar ada bagi memastikan slot berita tidak dihapuskan begitu saja.

Berita TV dan akhbar wujud sebagai alat mendapatkan iklan semata-mata. Soal perjuangan kewartawanan tidak akan difahami para saudagar sulap.

Bisnes menguasai media dipergunakan untuk memenuhi kocek keuntungan yang dalam dan perut buncit mereka. – 2 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen