Suara seniman dan kematangan politik baharu


Daniyal Kadir

BARU-BARU ini muncul isu berkaitan pelawak terkenal tanah air digam oleh sebuah negeri daripada terlibat dalam program televisyen di sebuah stesen berbayar.

Ramai beranggapan pelawak berkenaan dihalang dan disekat daripada membuat kemunculan kerana kritikan dan sinikalnya terhadap pemerintah semasa melalui lawak-lawak yang ditampilkan dalam sebuah pertandingan sebelum ini.

Jika benar hal ini berlaku, maka ia melihatkan Malaysia baru ini tidak dibina atas semangat yang benar.

Ia cuma pertukaran rejim dari satu tangan ke tangan yang lain tanpa ada kudrat sebenar untuk melihat dan membenarkan perubahan signifikan kepada kebebasan bersuara.

Kerajaan tidak sunyi daripada menerima kritikan dan segala macam kritikan itu tidak sewajarnya disembunyikan, sebaliknya wajar dibenarkan untuk tampil di depan khalayak.

Ia sebahagian daripada amalan demokratik dan usaha baik untuk kita mencapai kematangan dalam menjadi sebuah negara yang terbuka dan bertanggungjawab.

Golongan seniman bukan diwujudkan atau mewujudkan diri untuk menjadi pembodek, pengampu dan pembela kerajaan.

Mereka ialah golongan yang bergelumang dengan karya dan wajar diberikan ruang seluas mungkin atas lesen kebebasan kreatif untuk mengkritik pemerintah dan sebarang isu masyarakat yang melanda negara.

Seniman yang dibisukan dan hanya tahu membodek tidak akan membawa apa-apa perkembangan buat pemikiran rakyat.

Seniman jenis ini hanya akan memenuhi perut sendiri dan mencari laba untuk kepentingan diri sahaja.

Seniman yang terbuka dan sering kritis dalam karya-karya mereka akan mencernakan sebuah masyarakat pintar dengan kekuatan pemikiran dan kecaknaan kukuh terhadap isu-isu semasa.

Kritikan terhadap kerajaan oleh golongan seniman wajar dipandang dari sisi positif kerana ia menjadi penanda aras terbaik buat kebebasan kreatif di Malaysia.

Ia juga mengajar seseorang seniman agar bertanggungjawab pada setiap isi yang disampaikan dan memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai kekuatan seni dan akar fikiran seniman berkenaan.

Sesebuah kritikan yang serong akan memberi peluang kepada kita mengenali kerendahan akal seniman berkenaan, manakala kritikan yang tepat akan menyaksikan kita lebih menghargai pandangan mereka.

Dalam rejim pemerintahan sebelum ini, sukar untuk kita melihat keberanian kritikan oleh seniman terhadap pemerintah muncul di ruang awam seperti televisyen. Keadaan ini berlaku akibat ketidaksediaan pemerintah untuk berhadapan dengan suara seniman.

Pada waktu itu, kebanyakan yang muncul di televisyen adalah kata-kata selamat demi menjaga periuk nasi. Ini adalah satu bentuk tekanan tidak wajar kepada golongan seniman kerana mereka bukan untuk menghiburkan semata-mata, sebaliknya memiliki peranan untuk menyedarkan masyarakat.

Pada waktu sekarang, ketakutan itu sudah luntur dan seniman dilihat semakin berani menggunakan ruang awam untuk menyampaikan kritikan terhadap pemerintah.

Untuk itu, janganlah dibenamkan suara seniman ini, hanya kerana ia dibimbangi menggugat kedudukan pemerintah atau akan mengurangkan sokongan rakyat terhadap mereka.

Pandangan seniman walaupun berbeza harus diraikan dan sudah tentu bukan menjadi medan buat kerajaan untuk melawan dengan seniman kerana biarlah seniman itu berlawan dengan seniman, berlawan hujah dan pandangan sesama mereka.

Keadaan seperti ini dalam jangka masa yang tepat akan membentuk kematangan berharga buat demokrasi negara.

Adalah amat positif untuk televisyen menjadi medan kritikan seperti ini, berbanding hanya menjual material pop murahan.

Diharapkan walaupun kerajaan berubah kelak, kebebasan kreatif terhadap seniman wajar terus dijamin dan dipelihara kerana ia menjadi tanda terpenting kepada pengukuhan demokrasi negara.

Buat kerajaan semasa, jika wujud sekatan seperti yang dinyatakan, maka wajar ia segera dibuka bagi memastikan suara lantang seniman dapat membangkitkan rakyat tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. – 1 Februari, 2020.
 

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen