Somalia digesa gubal undang-undang pilihan raya baharu


Somalia digesa meningkatkan usaha membentuk undang-undang pilihan raya baharu yang dilihat penting bagi pilihan raya negara itu yang dijadual lewat 2020 dan awal 2021. – Gambar AFP, 30 Januari, 2020.

KOMUNITI antarabangsa menggesa pihak berkuasa Somalia meningkatkan usaha membentuk undang-undang pilihan raya baharu yang dilihat penting bagi pilihan raya negara itu yang dijadual lewat 2020 dan awal 2021, lapor agensi berita Xinhua.

Rakan antarabangsa termasuk Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa parlimen segera memuktamadkan undang-undang yang boleh dilaksanakan tanpa berlengah bagi mengelak ketidakstabilan politik.

“Bagi membolehkan pilihan raya diadakan mengikut jadual, penting adanya undang-undang pilihan raya yang boleh diterima pakai, diutamakan dan memasukkan Kerangka Pertanggungjawaban Bersama seperti dipersetujui antara rakan dan pihak berkuasa Somalia pada Oktober 2019,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan pada Selasa.

Somalia, dengan bantuan beberapa negara rakan, membuat persediaan segera terhadap peraturan pilihan raya seragam yang pertama selepas lebih dua dekad, ekoran meletusnya perang saudara sejurus tumbangnya kerajaan Somalia pada 1992.

Rakan berkenaan sudah pun mengadakan siri mesyuarat sejak beberapa minggu lalu dengan pemegang taruh berkaitan proses pilihan raya, termasuk dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (NIEC) berhubung undang-undang pengundian dan aspek keselamatan.

Menurut PBB, pilihan raya Somalia berteraskan satu orang satu undi adalah pada Mac 1969 ketika kerajaan ditumbangkan dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah oleh tentera. – Bernama, 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen