Proses pemulihan dadah di pusat sukarela lebih berkesan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kajian menunjukkan separuh daripada penagih dari pusat pemulihan kembali ke tabiat itu dalam masa 31 hari berbanding 352 hari di pusat sukarela. – Gambar EPA, 30 Januari, 2020.

PROSES pemulihan di pusat sukarela seperti Klinik Cure and Care adalah lebih berkesan berbanding pusat pemulihan dadah dalam menangani kes berulang penagihan, kata Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Adeeba Kamarulzaman.

Beliau berkata penyelidikan yang dijalankan oleh universiti berkenaan dengan kerjasama Yale University School of Medicine dan University of Florida College of Medicine dari Amerika Syarikat serta Burnet Institute Melbourne dari Australia mendapati proses pemulihan penagih di spsat sukarela adalah lebih baik.

“Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Global Health menunjukkan separuh daripada penagih dari pusat pemulihan kembali ke tabiat itu dalam masa 31 hari berbanding 352 hari di pusat sukarela, yang menunjukkan peningkatan 10 kali ganda,” katanya ketika sesi pengenalan penggunaan dadah dan polisi berkaitan dadah di Malaysia di UM, hari ini.

Adeeba, yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Teknikal dan Strategik mengenai HIV Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata hasil kajian menyokong gesaan antarabangsa supaya semua negara yang menubuhkan pusat pemulihan menghentikan operasi berdasarkan ketidakberkesanan pusat-pusat ini dalam merawat penagihan dadah.

Pusat pemulihan dadah ditubuhkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2010.

“Pada masa yang sama, negara-negara tersebut perlu meningkatkan rawatan terapi seperti metadon atau terapi buprenorphine dalam komuniti yang perlu digalakkan dan secara sukarela,” kata beliau.

Adeeba berkata kajian itu juga menarik perhatian mengenai implikasi meluas pusat pemulihan seperti risiko jangkitan HIV, kemerosotan kualiti hidup, kematian, diberkas semula dan aktiviti jenayah jika masalah pemulihan penagih dadah tidak ditangani dengan cara yang betul.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pusat pemulihan dadah di Malaysia dan seluruh Asia dipersoalkan kerana kurang berkesan dalam merawat ketagihan dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Kajian ini ialah yang pertama menunjukkan perbezaan yang nyata dalam kadar kes berulang di kalangan penagih yang ditahan di pusat ini berbanding mereka yang menerima rawatan methadone,” katanya.

Beliau berkata kajian itu tidak hanya menimbulkan implikasi besar polisi bagi Malaysia, tetapi juga di Asia yang menunjukkan pusat tahanan dadah dan jumlah mereka yang ditahan di pusat itu semakin berkembang.

Kajian itu dibiayai oleh World Bank Group, Doris Duke Charitable Foundation, National Institute on Drug Abuse, Institut Kesihatan Mental Kebangsaan, UM dan Geran Penyelidikan Impak Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, dalam kajian lain ke atas 313 penagih dadah yang ditransformasi dari pusat pemulihan ke pusat sukarela, 56.3% daripada mereka dapat mengekalkan pekerjaan masing-masing, 54.3% mampu meneruskan pengajian, 77.6% dapat memperbaiki hubungan kekeluargaan, 72.1% daripada memiliki kediaman tetap dan 75.9% daripada mengelak daripada ditahan semula. – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen