Rumah kebajikan beroperasi tanpa dana, hutang makin bertimbun


Gan Pei Ling

Seorang lelaki OKU duduk di atas lantai di pusat jagaan Rumah Kirtash untuk kanak-kanak kurang upaya di Bukit Beruntung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Setk Akmal, 6 November, 2017.

SIKAP tidak endah masyarakat yang semakin tinggi menyebabkan sesetengah rumah kebajikan di Lembah Klang terjerumus dalam hutang, apabila tajaan peribadi dan korporat memotong sokongan kewangan berikutan kenaikan kos sara hidup.

Bagi Rumah Kirtash untuk kanak-kanak kurang upaya, bekalan air dan elektrik yang sering dipotong sudah menjadi perkara biasa sejak akhir-akhir ini, kata pemiliknya Judith Pamela Muthiah.

Judith, 45, berkata rumah itu yang menempatkan 50 anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berumur antara tujuh dan 102 tahun memerlukan RM25,000 sebulan untuk perbelanjaan makanan, utiliti dan gaji pekerja.

Katanya, jumlah itu dianggap kecil, kerana sewa premis itu hanya RM1, yang dibayar kepada pemilik rumah.

Meskipun begitu katanya, hendak mendapatkan sejumlah itu bagi menampung perbelanjaan bulanan amat sukar.

“Paling baik pun kami dapat ‘durian runtuh’ beberapa ribu ringgit, terutama pada musim perayaan, dan kami akan gunakan untuk bayar bil penting terlebih dulu,” kata Judith.

“Kadangkala kami terima panggilan daripada beberapa syarikat, tetapi bila tahu kami di Bukit Beruntung, mereka kata mereka akan cari rumah kebajikan berhampiran dengan mereka,” katanya.

Rumah kebajikan itu cuba merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan syarikat korporat bagi mendapatkan sokongan kewangan setiap bulan tetapi tidak berjaya.

Judith berhenti daripada kerja sepenuh masanya sebagai guru pra sekolah beberapa tahun lalu untuk membantu suaminya Mani @ Wannan Kanan, 49, mengendalikan rumah kebajikan itu.

Mendiang abang Mani, seorang individu OKU mula membuka rumah itu pada 1999 untuk membantu orang lain yang sepertinya.

Selain suami isteri berkenaan, rumah kebajikan itu mempunyai empat kakitangan yang juga bekas penghuni rumah berkenaan yang dilatih untuk menjadi penjaga dan pemandu.

Judith berkata rumah itu terpaksa membayar lewat gaji pekerja kerana kekurangan dana.

“Nasib baik mereka sangat memahami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami ada mengambil penjaga luar tetapi mendapati mereka mendera penghuni bila kami tiada, jadi kami tidak lagi ambil orang luar.

“Ini bukan kerja yang anda boleh buat jika hanya mengharapkan gaji,” katanya.

Rumah kebajikan seperti Kirtash terpaksa menanggung hutang lebih besar berbanding tunggakan sewa, dan kebanyakannya tidak mampu untuk menggaji kakitangan sepenuh masa.

S.K. Manimaran, 51, pengasas Pusat Jagaatn Siddharthan di Petaling Jaya setakat ini menanggung hutang sewa terkumpul sebanyak RM120,000.

Pusat yang dibina pada 2008 itu pada masa ini menjaga 19 anak yatim dan kanak-kanak OKU berumur antara enam dan 12 tahun.

“Sewa RM3,500 sebulan. Nasib baik tuan rumah sangat memahami,” katanya yang juga eksekutif pemasaran separuh masa.

Pusat itu tidak mempunyai pekerja. Bagi menjimatkan kos, isterinya, kakak, anak perempuan dan mertua bertindak sebagai penjaga untuk kanak-kanak itu.

Murugan, 54, pemandu komuter dan juga pengasas Pusat Jagaan Sai Annai Illam in Pandamaran, Port Klang hanya mempunyai seorang kakitangan sepenuh masa.

“Seorang lagi yang bekerja sepenuh masa ialah isteri saya. Yang lain ialah saya, anak perempuan saya berumur 22 tahun dan anak lelaki 21 tahun serta adik ipar, semuanya hanya separuh masa,” katanya.

Jumlah tunggakan sewanya selama dua tahun kini mencecah RM19,200 dan berhutang sekurang-kurangnya RM1,000 masing-masing kepada Tenaga Nasional Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.

Walaupun berdepan keadaan yang sukar, Murugan masih mengimpikan membina rumah tetap untuk 30 anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang berada di pusat jagaannya.

“Saya hanya perlukan tanah, saya sudah pun ada kontraktor yang menawarkan simen percuma untuk bantu saya bina rumah perlindungan itu,” katanya.

Tiga rumah kebajikan itu sebahagian daripada kumpulan 10 pusat kebajikan di Lembah Klang yang bergabung buat kali pertama untuk menganjurkan konsert kutipan dana pada 25 November depan di Stadium Melawati, Shah Alam.

Francis Siva, 58, pengasas Independent Living Training Centre yang melatih individu dengan kecederaan tulang tunjang untuk hidup berdikari berkata mereka berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya RM1.2 juta daripada konsert itu supaya setiap rumah kebajikan dapat RM100,000.

Kos menganjurkan konsert itu dianggarkan RM200,000.

“Jumlah RM100,000 itu dapat membantu kami bertahan untuk tahun akan datang,” katanya.

Pusat kebajikannya yang pada masa ini menempatkan 10 penghuni, menerima derma daripada penderma dan yayasan seperti Kuok Foundation tetapi jumlahnya juga semakin berkurangan sejak dua tahun lalu akibat ekonomi merudum, kata Francis.

Selain menyokong konsert itu, Judith berkata mana-mana pihak atau perniagaan yang dapat membayarkan bil utiliti, sewa, gaji pekerja dan perbelanjaan lain secara bulanan akan dapat meringankan beban pengasas.

“Kami juga memerlukan tutor untuk kanak-kanak serta doktor bagi warga emas, hanya untuk lawatan seminggu sekali atau sebulan sekali.

“Itu dapat menjimatkan kos tuisyen dan pengangkutan serta masa untuk ke hospital.

“Dan untuk bermain dengan penghuni. Mereka pasti menghargainya,” kata Judith. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen