Berita TV dan akhbar serta reputasi cap ayam


Zainal Rashid Ahmad

PADA 1999, ketika berada di bilik berita NTV7 – skrin TV memenuhi ruang kerja. Daripada saluran CNN, BBC, ABN, CNBC hinggalah ke saluran tempatan.

Di bilik conti satelit pula, setiap sejam akan masuk hantaran berita agensi luar negara yang berpengaruh. Sama ada APTN atau Reuters TV.

Dunia wartawan hujung abad ke-20 digegar dengan keriuhan pelbagai sumber laporan. Wartawan TV tempatan pada waktu itu mengukur pencapaian diri dengan media global.

Walaupun tahap saingan ibarat langit dan bumi – aspirasi (atau angan-angan) mahu menghasilkan bahan berita terbaik dan berkelas global sentiasa menyemarakkan semangat kerja di bilik berita.

Tiap kali muncul wajah Ben Wedemen di CNN, mata kami segera tertumpu ke skrin TV. Ini kerana krisis Palestin dan Israel adalah menu utama laporan wartawan veteran ini.

Wedemen dengan pakaian selekeh, sentiasa berada di hampir setiap titik lokasi pertempuran antara penduduk Palestin dengan polis atau tentera Zionis.

Pada sesi lain, wartawan penerima berulang kali Anugerah Emmy ini juga muncul di Dewan Knesset Israel. Wedemen juga berada di Kaherah atau Amman, melaporkan sidang diplomatik krisis Arab Israel yang dianggap masalah paling rumit.

Kami akan menguatkan audio sekiranya muncul wajah Anderson Cooper. Hos kacak ini bukan sekadar wartawan kaki melaram di studio. Cooper kerap berada di lokasi tragedi kemanusiaan dan bencana alam.

Program 360° kendalian wartawan kelahiran New York dan lulusan Universiti Yale ini menjadi mercu tanda IQ kewartawanan paling progresif pada penghujung abad ke-20.

Selain stail dan ketajaman minda, Cooper simbol aspirasi bagi wartawan yang percaya: idea energetik jurnalisme moden mampu mengubah dunia.

CNN era itu, turut dilengkapkan dengan senarai wartawan wanita yang dikagumi. Antaranya Hola Gorani, Arwa Damon, Barbara Starr dan Paula Hancocks.

Namun, Christiane Amanpour paling dikenali. Wartawan ini menjadi legenda kerana peranan beraninya mendedahkan krisis penghapusan etnik dalam Perang Balkan 1994-1996.

Amanpour menyertai CNN sejak 1983. Mulai 1992, wanita kelahiran British-Iran ini mula menyapu bersih pelbagai anugerah utama kewartawanan dunia.

Malah, menjadi popular kerana keberaniannya menjelajah zon perang di Iraq dan Afghanistan. Pada usia tiga puluhan, Amanpour sudah berada di garisan krisis berdarah paling menggerunkan; perang pembunuhan puak di benua Afrika.

Ketika puak Tutsi dan Hutu saling berbunuh dengan angka kematian menjangkau sejuta nyawa, Amanpour berada di Rwanda (1994).

Beliau juga berada di Somalia (1993) melaporkan krisis perang saudara yang berpanjangan di Mogadishu dan Somaliland.

Amanpour satu “tanda dagang” bagi CNN kerana laporannya menjadi sumber berita perang yang disiarkan secara langsung dari lokasi kejadian.

Ketika penggunaan satelit mula berkembang dalam industri penyiaran, generasi Amanpour membawa maklumat “live” dari garisan tempur.

Selain berani merentas bumi perang, Amanpour juga terkenal kerana berjaya mewawancara ramai pemimpin kontroversi dunia yang anti CNN. Antaranya, dua pemimpin Iran; Mohamad Khatami dan Mahmoud Ahmedinejad.

Begitulah kehangatan bilik berita TV pada dekad akhir abad ke-20. Wartawan tempatan walaupun bekerja di stesen yang didoktrinisasikan pelabur komersil dan patronisasi politik, tetap hidup dengan aspirasi kewartawanan sejati.

Dari era The New Journalism, ke era The New New Journalism, merentas ke era Reporters Without Borders hingga ke era Post Modern Journalism - wartawan tempatan tetap bersemangat mengejar agenda global.

Waktu itu, bukan aneh sekiranya wartawan berbual mengenai aspirasi untuk ikut serta dalam arus kewartawanan global. Bilik berita selalu dipenuhi impian dan cita-cita menyumbang ke arah perubahan dunia – sekali pun cita-cita itu realitinya hanyalah angan-angan percuma.

Nasib wartawan era sekarang

Pada dekad pertama alaf 21, bermula era kemeruduman pengaruh kewartawanan. Naratif TV sepenuhnya beralih menjadi media hiburan.

Penonton mula ketagihkan TV untuk mengundi calon juara program realiti. Malah, operator TV dilanda kegilaan meraih untung tambahan dengan program realiti berasaskan undi SMS.

Pakatan meraih untung mudah antara stesen TV dan telco membina kegilaan baharu. Program realiti diperalat untuk meneroka keuntungan tambahan selain perolehan iklan.

Caj undi SMS kepada penonton dibahagi secara licik antara stesen TV dan telco. Bermula era bijak dengan mencipta ketagihan penonton untuk mengundi bintang realiti TV.

TV sepenuhnya berubah menjadi alat hiburan. Selain drama bertemakan krisis keluarga dan perebutan harta atau cinta tiga segi, TV juga sumber berita sensasi.

Dunia hujung minggu rakyat Malaysia dibentuk dengan program hiburan TV. Agendanya lebih daring; istilah berita turut diseret ke industri hiburan. Program gosip sensasi mencipta katalis baharu dalam pemberitaan TV.

Program berita hiburan jadi ketagihan. Penonton taasub dengan maklumat skandal seks dan cinta serta gosip nikah cerai artis popular.

Nilai berita mula digugat istilah untung rugi

Pada 2005, ketika TV dilanda mabuk bisnes program realiti, bilik berita pula mula menerima pelbagai tekanan.

Bisnes TV kini sepenuhnya berkisar mengenai tuntutan iklan dan fokus penajaan. Operator TV yang dikepalai puak akauntan dan raja jenama mula mendesak operasi siaran berita agar peka pada agenda komersil.

Ketua editor dan wartawan mula hidup dalam bayang-bayang mengejar RM. Setiap ruang isi berita mesti mempunyai nilai niaga.

Peranan berita sebagai alat pembangunan minda dan agen maklumat kepada masyarakat mula dipertikai. Malah, mentaliti dan jiwa kewartawanan dibunuh perlahan-lahan oleh beban rating dan nilai komersil.

Tekanan rating menyebabkan berita perdana dipenuhi laporan kes rogol, operasi tangkap basah, kisah maksiat dan tragedi berdarah terutama kes-kes pembunuhan kejam.

Malah, skandal dalam kain orang politik juga diselak seluas-luasnya.

Visual serbuan polis di kelab malam dengan tubuh pelacur separuh telanjang “dipaksakan” menjadi nilai berita yang wajib disiarkan.

Kewartawanan mulai menuju jalan jahanam. Wartawan pun ikut jahanam dengan tugas-tugas mensensasikan laporan.

Isu kaum dan agama juga dipajak dan didesak sebagai alat niaga apabila suhu kepanasannya dilihat mampu menyumbang pada rating tontonan.

Semakin tinggi rating bererti semakin meningkat caj iklan. Nilai iklan menjadi lebih mahal dari prinsip dan etika kewartawanan.

Akhirnya, berita TV digadai dan dipaksakan dengan dua doktrin: pertama agenda politik dan kedua “pelacuran” laporan. Tanpa etika dan moral, berita TV mula dijadikan alat perniagaan.

Akhbar menjunam dan hilang pembaca

Pada 1999, tiap bilik berita TV pasti pasti menjadikan akhbar sebagai rujukan saingan.

Walaupun berada di platform berbeza, akhbar adalah saingan yang dihormati penerbit berita TV. Apa lagi, wartawan akhbar secara sejarahnya, memiliki rangkaian kerja dan sumber maklumat yang lebih prominan.

Berita TV ketika itu sering dikejutkan dengan laporan eksklsuif akhbar. “Scoop” berita politik dan laporan jenayah, menyebabkan editor tugasan berita TV sentiasa memantau laman laporan akhbar.

Hari ini, selepas akhbar hilang pembaca dan dicetak di bawah 50 ribu nashkah sehari, ia menjadi kertas bungkus nasi lemak yang diabaikan.

Penyusunan semula bisnes pelbagai syarikat akhbar terutama setelah berlaku begitu banyak pusingan pembuangan pekerja, menyebabkan ramai wartawan terbaik dilenyapkan dari posisi perkhidmatan.

Wartawan akhbar yang bergelar penerima anugerah tidak lagi dihargai. Malah, reputasi dan kedudukan wartawan kanan yang hebat terjejas kerana isu bergaji tinggi.

Apabila syarikat akhbar melaksanakan VSS atau MSS, wartawan kanan sentiasa dalam radar untuk ditamatkan khidmat.

“Anda terima Anugerah Kajai, ertinya anda senior dan sasaran utama untuk ditamatkan,” rungut sumber wartawan yang kehilangan kerja.

Beliau menerima Anugerah Kajai, tetapi itu tidak menyelamatkan kerjayanya. Kariernya berakhir apabila rejim pengurusan berasaskan “cost cutting” menyasarkan penjawat bergaji tinggi sebagai mangsa VSS dan MSS.

“Menerima Anugerah Kajai dan menjadi mangsa VSS dan MSS adalah memalukan,” kata sumber itu lagi.

Anugerah Kajai merujuk pada pengiktirafan paling berprestij dunia kewartawanan akhbar yang diperkenalkan pada 1980.

Akhbar pada 1999 memiliki edaran harian sekitar 300 ribu nashkah. Angka itu meningkat melebihi 500 ribu nashkah pada hujung minggu. Itu dekad kewartawanan akhbar amat digeruni di bilik berita TV.

Hari ini, akhbar bukan saja mengecilkan operasi, malah ditutup dan digulung perniagaannya. Namun, nasibnya tidak diraikan wartawan TV.

Apabila akhbar hilang pembaca kerana perubahan zaman, berita TV turut mengalami kemeruduman rating tontonan.

Maklumat dalam etika kewartawanan bukan lagi aspirasi utama yang dipelihara pemodal media. Kewartawanan masa kini menuju konsep “asal ada” berita. Akhbar hanya diperlukan untuk muatan iklan.

Kewartawanan kini menuju dunia gelap. Tidak ada lagi wartawan muda yang menyimpan aspirasi menandingi siaran berita dunia.

Sekali pun untuk sekadar untuk angan-angan percuma. – 29 Januari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen