Indira Gandhi tuntut RM100 juta dalam saman terhadap KPN


Noel Achariam

Indira juga menuntut Hamid bertindak atas perintah mandamus Mahkamah Tinggi 2014 kepada ketua polis negara untuk menguatkuasa waran tangkap terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan dan perintah mendapatkan anaknya, Prasana Diksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

M. Indira Gandhi sedang merancang untuk menyaman Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dengan tuntutan RM100 juta kerana gagal menemui anak perempuannya yang hilang selepas diculik bekas suaminya 11 tahun lalu.

Bekas guru tadika dan Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) akan memfailkan saman sivil melalui peguam mereka pada minggu pertama bulan Februari.

Indira juga menuntut Hamid bertindak atas perintah mandamus Mahkamah Tinggi pada 2014 kepada ketua polis negara untuk menguatkuasa waran tangkap terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan dan perintah mendapatkan anaknya, Prasana Diksa.

Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy berkata mereka menyaman KPN kerana beliau gagal bertindak di atas perintah mahkamah.

“Pada dasarnya, polis gagal mengikuti perintah mahkamah dan mereka gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mencari Prasana.

“Dia (Hamid) berkata bahawa kes Indira adalah keutamaan dan dia berjanji akan kembalikan Prasana. Kami mahu KPN hentikan semua cakap kosong,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.

Pada Ogos tahun lepas, Hamid berkata keutamaan polis adalah untuk  memenuhi perintah mahkamah dan mencari anak perempuan itu dan menyatukan mereka semula.

Hamid berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Indira sebagai sebahagian daripada usaha pihak polis untuk mencari Riduan dan Prasana, di samping menambah bahawa beliau mengambil berat secara peribadi berhubung kes tersebut.

Pada Ogos tahun lepas, Abdu Hamid Bddor berkata keutamaan polis adalah untuk  memenuhi perintah mahkamah dan menyatukan semula M. Indira Gandhi dengan anak perempuannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

Pasukan petugas polis khas ditubuhkan untuk mencari Riduan dan Prasana pada April tahun lepas, namun kedudukan bapa dan anak perempuannya itu tetap sukar ditentukan.

Peguam Indra, Rajesh Nagarajan berkata, saman sivil itu berasal daripada kenyataan bahawa terdapat perintah mahkamah terhadap KPN untuk kembalikan Prasana.

“KPN telah gagal, dan cuai untuk memulangkan kanak-kanak itu. Oleh itu, dia gagal melaksanakan perintah mahkamah.

“Oleh itu kami memfailkan saman terhadap KPN untuk ganti rugi berdasarkan alasan bahawa dia tidak melakukan tugasnya.”

Seorang lagi peguam dalam pasukan itu, Sachpreetraj Singh Sohanpal, berkata ia telah lebih dari satu dekad sejak Indira kehilangan anaknya.

“Dia menuntut gantirugi kemurungan, kegelisahan dan penderitaan yang dia perlu harungi sepanjang tahun ini.

“Dari apa yang kita tahu, Indira telah menjalani pertempuran panjang dan terpaksa menanggung masalah kewangan.

“Kita mahu dapatkan pampasan untuk apa yang telah dia lalui.”

Riduan menculik Prasana ketika bayi selepas dia secara sepihak menukar agamka tiga anak mereka berdua kepada Islam. Lelaki itu kini mengabaikan  perintah mahkamah untuk dia memulangkan anak tersebut kepada ibunya.

Walaupun mahkamah telah memberikan hak penjagaan kepada Indira terhadap tiga anaknya selain memutuskan penukaran agama mereka sebagai tidak sah, namun Indira masih belum bersatu kembali dengan anak bongsunya yang kini tidak diketahui kedudukannya. – 26 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen