Isu kongres Pemuda masih timbul kerana perang proksi, kata PKR


Zaim Ibrahim

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution enggan melayan tuntutan dibangkitkan penyokong Azmin seperti Hilman Idham itu kerana kongres pada Disember dilangsungkan mengikut syarat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2020.

PKR menolak gesaan daripada kumpulan penyokong Azmin Ali dalam sayap Pemuda parti itu untuk mengadakan semula kongres bagi pergerakan tersebut.

Setiausaha agungnya Saifuddin Nasution juga enggan melayan tuntutan dibangkitkan penyokong Azmin seperti Hilman Idham itu kerana kongres pada Disember dilangsungkan mengikut syarat.

Katanya, tuntutan tersebut adalah satu bentuk perang proksi yang berlarutan sedangkan isu tersebut sepatutnya sudah selesai.

“Tindakan Hilman lebih kepada pertarungan puak, patut dihentikan dan fokus membina parti,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di Bandar Baharu, Kedah.

Beliau juga menjelaskan, isu pergaduhan yang ditimbulkan kumpulan penyokong Azmin itu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk kongres diadakan semula.

“Rukun (untuk mengadakan) kongres ialah notis kongres diberikan ikut tempoh masa. Perwakilan yang hadir tidak bankrap dan tiada kes jenayah.

“Penyata kewangan dan tahunan sayap dibentangkan serta pengerusi tetap juga tidak bankrap.

“Kalau semua perkara ini ada jadi tiada isu, kalau ada kekacauan, terpekik atau terlolong bukan perkara yang boleh jejaskan perjalanan kongres parti,” tambah Saifuddin.

Beliau mengulas tuntutan Hilman agar PKR mengadakan semula kongres ekoran insiden pergaduhan dan kekasaran yang berlaku semasa sayap parti itu berhimpun pada awal bulan lalu.

Kumpulan 19 pemimpin Pemuda PKR diketuai Hilman itu antara lain menuntut Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat perjalanan kongres dan supaya mesyuarat itu diadakan semula.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan kongres sayap pemuda itu hanya boleh diadakan semula jika ROS mendapati beberapa peraturan tidak diikuti.

Namun kongres tersebut sudahpun dijalankan mengikut syarat yang ditetapkan jabatan berkenaan, katanya.

“Kalau semua prasyarat ada jadi tiada isu (untuk mengggesa Kongres AMK diadakan semula).

“Saya fikir gesaan dibuat kepada RoS haruslah dibuat berasaskan alasan munasabah, pihak yang buat gesaan pun perlu teliti dan fahami setiap aturan perlembagaan parti,” kata Saifuddin.

Selain itu, kumpulan 19 anggota Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR itu juga menuntut ROS meneliti kesahihan penyingkiran tujuh rakan mereka dari jawatankuasa tersebut minggu lalu.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 16 Januari lalu menjelaskan tujuh anggota jawatankuasa itu dipecat kerana tidak menjawab surat tunjuk sebab tidak hadir mesyuarat.

Selain itu, Kumpulan 19 pemimpin Pemuda PKR ini juga tegas menyokong Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang diberikan surat tunjuk sebab untuk diambil tindakan disiplin oleh parti.

Ia berhubung kenyataan Zuraida yang didakwa memperlecehkan anggota dan pemimpin parti, khususnya Anwar. – 26 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen