Pimpinan PKR tidak campur urusan lembaga disiplin, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata lembaga disiplin tidak boleh dipaksa untuk membuat sebarang keputusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

PIMPINAN PKR tidak campur tangan dalam sebarang urusan dan proses lembaga disiplin terhadap Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, kata presiden parti Anwar Ibrahim.

Katanya, Zuraida yang telah dikeluarkan surat tunjuk sebab diberi masa 14 hari untuk mempertahankan diri, dipercayai daripada tuduhan

“Ini urusan lembaga disiplin. Kita tidak boleh paksa lembaga disiplin buat apa-apa keputusan. 

“Saya tidak tahu apa lagi (keputusannya)... mereka tunggu jawapan Zuraida, dan saya pasti mereka akan bagi keputusan yang baik,” kata Anwar kepada wartawan di Gong Badak, Terengganu.

Zuraida sebelum ini enggan mendedahkan pertuduhan terhadapnya tetapi berkata beliau akan menjawab surat tunjuk sebab itu dalam masa yang ditetapkan.

“Setakat ini dia kata dia akan jawab, ikut proseslah. Saya tidak fikir pimpinan patut campur dalam hal ini,” tambah Anwar.

Ditanya mengenai desakan 46 pimpinan kanan PKR termasuk Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali agar surat tunjuk sebab itu ditarik balik, Anwar mengingatkan bahawa lembaga disiplin adalah sebuah badan yang bebas.

Anwar juga mendakwa tidak semua 46 pimpinan yang nama mereka tertera pada hujung kenyataan bersama itu bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“46 itu ada yang dipecat pun dimasuk (dalam kenyataan bersama). Ada yang bagitahu saya dia tak tandatangan, saya tak mahu kata apa.

“Pokoknya, mereka gesa kalau boleh lembaga disiplin tarik balik. Ini urusan lembaga disiplin. Lembaga disiplin itu bebas,” katanya.

Beberapa pimpinan PKR termasuk Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin sebelum ini mendesak parti mengambil tindakan terhadap Zuraida berhubung ucapannya yang didakwa memperlecehkan anggota dan pimpinan parti, khususnya Anwar.

Ucapan itu dibuat dalam satu majlis atas nama “Majlis Makan Malam Kemakmuran Bersama” di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur – yang dianggap “kongres kedua PKR” yang berlangsung hanya beberapa jam selepas selesai kongres tahunan parti di Melaka pada 8 Disember lalu.

Dalam ucapannya, Zuraida menggelar beberapa pemimpin muda antaranya Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir sebagai “budak hingus” dan “budak pampers” kerana menegur pimpinan parti khususnya daripada kem timbalan presiden.

Beliau juga menyelar setiausaha politik Anwar yang juga Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kononnya membawa budaya samseng dalam parti.

Zuraida dalam ucapannya juga menegaskan sedia dipecat daripada PKR kalau tindakannya mengkritik parti dan kepimpinan dianggap satu pengkhianatan.

Semalam, 46 pimpinan kanan PKR dalam kenyataan bersama mendakwa tindakan disiplin terhadap Zuraida berniat jahat dan tidak selaras dengan suasana ke arah penyatuan parti.

Kenyataan itu dikeluarkan termasuk oleh 15 ahli Parlimen daripada PKR dan 21 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR serta wakil rakyat di negeri-negeri. – 23 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen