Ambil tindakan ke atas Zuraida, kata Shamsul Iskandar


Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan disiplin perlu diambil terhadap Zuraida Kamaruddin kerana membuat kenyataan melampau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2019.

PKR wajar mengambil tindakan disiplin terhadap naib presidennya Zuraida Kamaruddin kerana membuat kenyataan yang “melampau dan kurang akhlak”, pada satu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kelmarin, kata ketua penerangan parti Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau merujuk kepada perhimpunan atas nama “Majlis Makan Malam Kemakmuran Bersama” di Hotel Renaissance, yang dianggap “kongres kedua PKR” yang berlangsung hanya beberapa jam selepas selesai kongres tahunan parti di Melaka pada Ahad lalu.

“Zuraida dengan bongkaknya membongkar beberapa perkara kononnya adalah intipati perbualan beliau dengan Presiden PKR (Anwar Ibrahim).

“Ini satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum, melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Shamsul, Zuraida juga dalam ucapannya “mencaci dan menghina” beberapa pemimpin muda PKR, yang katanya bersifat peribadi serta terkeluar dari landasan adab dan akhlak.

Dalam ucapannya, Zuraida menggelar beberapa pemimpin muda antaranya pengarah komunikasi Fahmi Fadzil dan ketua Pemuda PKR Akmal Nasir sebagai “budak hingus” dan “budak pampers”

kerana menegur pimpinan parti khususnya dari kem timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Zuraida dalam ucapannya juga menegaskan sedia dipecat dari PKR kalau tindakannya mengkritik parti dan kepimpinan dianggap satu pengkhianatan.

Menurut Shamsul, beliau sendiri akan mengusulkan kepada Lembaga Disiplin PKR agar mengambil tindakan terhadap Zuraida kerana melanggar etika dan disiplin parti.

Jelas beliau, apa yang dibuat oleh Zuraida itu bukan contoh yang baik kepada ahli parti.

Dalam ucapannya pada majlis makan malam itu, Zuraida mendedahkan Anwar kononnya cuba memujuk beliau untuk percaya bahawa dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR Azmin pada Jun lalu adalah betul.

“Dia kata video itu memang Azmin… polis kata Azmin. Saya kata kalau (betul) Azmin, biarlah polis siasat dan Azmin kena terima kalau betul,” kata Zuraida, kelmarin.

Azmin menafikan tuduhan bekas pemimpin Pemuda PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman video seks yang tersebar enam bulan lalu.

Azmin menegaskan tuduhan itu fitnah untuk menghancurkan masa depan politiknya.

Perhimpunan di Hotel Renaissance pada malam kelmarin, di lokasi sama tempat PKR dilancarkan 20 tahun lalu, dihadiri oleh penyokong Azmin.

Mesej pemimpin yang berucap pada perhimpunan itu ialah PKR kini sudah terbabas daripada perjuangan asal sebaliknya kini mabuk mahu memperjuangkan Anwar jadi perdana menteri.

“Saya percaya majlis makan malam ini dirancang lebih awal dan diadakan bagi menggantikan ‘Kongres Renaissance’ yang terpaksa dibatalkan,” kata Shamsul. – 10 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen