Kongres Pemuda PKR kecoh, pengerusi tetap dipecat dihalang masuk


Mohd Farhan Darwis

Insiden tolak menolak berlaku apabila beberapa perwakilan yang cuba memasuki dewan tidak berpuas hati selepas dihalang walaupun memiliki tanda pengenalan Kongres Pemuda PKR yang sah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

KETEGANGAN tercetus sewaktu Kongres Pemuda PKR berlangsung pagi ini apabila pintu masuk ke dalam dewan persidangan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh ditutup.

Kekecohan tercetus selepas bekas pengerusi tetap Pemuda Muhammad Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya Mohd Ramly Ahmad yang dipecat minggu lepas cuba memasuki dewan persidangan.

Susulan daripada itu, tolak menolak berlaku dan jerit menjerit kedengaran setelah pihak keselamatan menghalang Mizan dan Ramly daripada memasuki dewan.

Pihak keselamatan turut melarang mana-mana perwakilan yang tidak memakai baju Melayu daripada memasuki dewan persidangan, sekali gus menghangatkan lagi suasana di pintu masuk dewan.

Tolak menolak berlaku apabila beberapa perwakilan yang cuba memasuki dewan tidak berpuas hati selepas dihalang walaupun memiliki tanda pengenalan kongres yang sah.

Beberapa perwakilan juga kedengaran menjerit “buka pintu, buka pintu” sementara ada juga yang mengeluarkan kata-kata makian antaranya “bodoh”.

“Kami perwakilan sah, kenapa tak bagi masuk?” kata seorang perwakilan, terdengar di luar dewan.

Pasukan yang dikerah untuk kawal keselamatan sepanjang kongres di Melaka berlangsung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

The Malaysian Insight difahamkan pihak pengurusan kongres menutup pintu untuk menyemak tanda pengenalan perwakilan sebelum dibenarkan masuk ke dewan.

Antara yang dilihat cuba dihalang masuk ialah bekas timbalan ketua Pemuda Dr Afif Bahardin. Semasa pemilihan Pemuda setahun yang lalu, Afif kalah jawatan ketua sayap itu kepada Akmal Nasir.

Kongres pagi ini bermula dengan pemilihan Setiausaha Agung Pemuda Melaka, Rashid Abu Bakar dari cabang Pemuda Tangga Batu sebagai pengerusi tetap yang baharu menggantikan Muhammad Mizan Adli Mohd Noor. 

Perwakilan juga mengangkat Setiausaha Agung Pemuda Kedah, Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan sebagai timbalan pengerusi tetap.

Mizan dan timbalannya Ramly minggu lalu dilucutkan daripada jawatan dengan alasan mereka terlebih umur.

Bekas pengerusi tetap Pemuda Muhammad Mizan Adli Mohd Noor dihalang daripada memasuki dewan persidangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

Pelantikan Rashid dan Wan Mohamad Syahezral diumumkan oleh Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin selaku wakil Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Shamsul adalah juga bekas ketua Pemuda antara 2007 dan 2014.

Sementara itu, pihak pengurusan kongres kemudian membuat pengumuman dari dalam dewan supaya mana-mana perwakilan yang memiliki tag kongres yang sah dibenarkan memasuki dewan persidangan.

Namun itu tidak juga menyelesaikan suasana tegang yang mencemari kongres.

Ucapan dasar Akmal selaku ketua sayap sempat terhenti seketika kerana tercetus pertengkaran.

Audio ucapan itu yang pada awalnya disiarkan secara langsung turut dihentikan. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen