Berdoalah, wahai bekas pekerja Utusan yang teraniaya


Zainal Rashid Ahmad

INI kisah penuh tragedi. Nasib bekas pekerja Kumpulan Utusan. Kisah 1,500 orang yang melalui kehidupan yang getir dan masih gagal mendapatkan pekerjaan.

Pada November 2018, 708 orang ditamatkan kerja melalui VSS. Manakala 815 lagi hilang kerja tanpa sesen pun bayaran baki gaji dan pampasan pada 9 Oktober tahun lalu.

Tanpa pembelaan dan kini hilang tempat bergantung, menyebabkan bekas pekerja merayu campur tangan kerajaan terutama perdana menteri.

Walaupun kes Utusan bukan isu politik atau kerajaan, tetapi tindakan Dr Mahathir Mohamad mampu memberikan kesan.

“Kami merayu Dr Mahathir menasihatkan pemegang permit baru yang mahu memulakan operasi supaya mengutamakan bekas pekerja.

“Kami juga mahu kerajaan mendesak isu tunggakan gaji dan VSS diselesaikan kerana sudah lebih tiga bulan Kumpulan Utusan ditutup, masih tiada khabar berita,” kata bekas pekerja.

Pada 10 Oktober tahun lalu, sehari selepas Kumpulan Utusan mengumumkan penggulungan sukarela, perdana menteri memberikan komen mengenai nasib bekas pekerja syarikat akhbar berusia 80 tahun itu.

“Utusan akan ditutup, akan ada syarikat baru yang ambil alih, tetapi mengenai pekerja, ada yang akan diambil bekerja dengan Utusan baru,” kata Dr Mahathir.

Harapan supaya diterima di syarikat baharu menyebabkan bekas pekerja Kumpulan Utusan memilih mendiamkan diri.

Walaupun wujud kegusaran mengenai ketelusan operasi baru, bekas pekerja takut untuk mengkritik. Bekas pekerja gusar kerana wujud senario kurang menyenangkan kerana proses operasi penerbitan semula Utusan Malaysia dan Kosmo berjalan secara samar-samar.

“Utamakan bekas pekerja. Tidak adil kami diabaikan. Kami hilang kerja dengan notis 24 jam dan tidak dibayar gaji. Malah, sesen pun tiada pampasan.

“Pemilik permit baru tidak wajar mengetepikan kami dan menawarkan iklan terbuka,” kata editor yang hampir 20 tahun pernah berkhidmat di Kumpulan Utusan.

Sepatutnya, kata sumber yang mewakili rakan senasibnya, pemilik baru penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo mesti mengutamakan bekas pekerja Kumpulan Utusan yang ditamatkan khidmat tanpa gaji dan pampasan.

“Bekas pekerja takut untuk mengkritik pemilik permit secara terbuka kerana bimbang disenarai hitam dan tidak diambil bekerja,” katanya, merujuk pada iklan terbuka jawatan kosong yang tersebar minggu lalu.

Kesengsaraan hidup setelah lama menganggur membuatkan mereka serik dan memilih berdiam diri.

Selain itu, wujud kebimbangan sekiranya mempertikaikan kelewatan bayaran tunggakan gaji dan VSS pula, akan menyebabkan nama disenarai hitamkan.

Majoriti bekas pekerja Kumpulan Utusan kini hidup dibelenggu kebimbangan dan kepapaan.

“Ada rakan pergi ke pejabat zakat dan memohon bantuan sebagai asnaf. Pegawai zakat sangat terkejut. Tiada pendapatan selama tiga bulan dan suami isteri yang diberhentikan kerja serentak tanpa dibayar gaji wajar disenaraikan sebagai fakir miskin,” katanya.

Terima kasih, kata sumber itu, kepada pejabat zakat dan Perkeso kerana sentiasa mencari cara terbaik membantu kebajikan bekas pekerja Kumpulan Utusan.

“Mungkin dulu kami banyak membantu agensi-agensi ini ketika akhbar masih beroperasi, jadi orang kenang juga jasa bekas pekerja Kumpulan Utusan,” katanya sebak.

Menurut sumber, ramai bekas pekerja hidup mengikat perut kerana ketiadaan pendapatan. Walaupun gigih berusaha, masih tetap sukar mendapat kerja.

Soal dikejar hutang dan anak-anak terpaksa dihantar pulang ke kampung bagi mengelakkan kelaparan, antara siri cerita senyap yang tragis.

Malah, ada yang terpaksa hidup dengan meminjam di sana-sini demi memastikan keluarga mendapat makanan.

Doa senjata orang teraniaya

Mari kita rujuk kisah sahabat Rasulullah. Dalam kes pekerja Kumpulan Utusan, selain isu hilang kerja, wujud juga unsur penganiayaan.

Sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga, Saad bin Abi Waqqas pernah berdoa kepada Allah supaya menimpakan bala kepada Usamah bin Qatadah yang memfitnahnya.

Doa Saad: “Demi Allah, saya ingin berdoa meminta tiga perkara: ‘Ya Allah, jika hamba-Mu ini (Usamah) berbohong, bangun memfitnah kerana riak dan inginkan nama, maka panjangkan umurnya, panjangkan kepapaannya dan dedahkan dia dengan bala dan bencana.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah memperkenankan doa Saad. Menurut Bukhari, puluhan tahun selepas berdoa, Saad kembali ke Kufah. Waktu itu, dia terlihat lelaki tua merempat di tepi jalan.

Lelaki itu kelihatan sangat bangka hingga kelopak matanya jatuh menggelebeh. Wajahnya penuh siksa hingga tiada sehelai pun bulu mata dan alis keningnya.

Lelaki itu ialah Usamah yang menganiaya Saad. Di Kufah, pada usia renta, penfitnah ini hidup dalam keadaan sangat terhina.

Itu bukti doa Saad dimakbulkan. Usamah dilaknat Allah hingga dibiarkan hidup lanjut usia tetapi merempat dan mengemis di tepi jalan.

Hadis ini satu bukti. Doa orang teraniaya Insyaallah akan dimakbulkan. Itu janji Allah.

Sekalipun penzalim tidak takut pada hakikat ini, berdoalah wahai orang yang teraniaya.

Penzalim tidak akan kebal daripada laknat Allah, sekali pun wang bertimbun dan emas berkoyan dijadikan perisai.

Beringatlah, wahai businessmen Melayu yang kaya-raya.

Peringatan mengenai hukum Allah selalunya hanya cenderung digunakan untuk memujuk hati orang teraniaya.

Manakala, penzalim pula dibiarkan terlentang kenyang seperti Firaun terbaring di atas timbunan emas.

Penyonglap dan penyulap bisnes selalu percaya – memperdaya dan menganiaya manusia antara keperluan biasa dalam berniaga.

Penzalim tidak pernah takutkan doa mangsa. Itu simbol keangkuhan Firaun. Kekuasaan dan wang yang disonglap hasil kelicikan berniaga, membuatkan penzalim percaya: takdir Allah juga boleh dibeli dengan kekayaan mereka.

Dunia bisnes memang milik penzalim

Lebih aneh, ketika penzalim bisnes bermaharaja lela melakukan kejahatan, ulama tidak berani menegurnya.

Hal kezaliman bisnes pada mata agamawan – dianggap bukan isu agama.

Ulama enggan tampil dan mengkritik keras atau mencela si penzalim. Agama, bagi ulama hanyalah relevan untuk si mangsa.

Hakikatnya, ulama perlu agresif menegur; penzalim bisnes adalah musuh agama. Kelicikan sentiasa menjadikan mereka terlepas dari undang-undang dunia.

Maka, wajar ulama menegur mereka dengan peringatan akan azab neraka.

Hari ini Firaun Melayu Islam ada di mana-mana. Mustahil ulama tidak nampak kewujudan mereka?

Nasib bekas pekerja makin dilupakan

Bekas pekerja Kumpulan Utusan kini hanya bergantung pada doa.

Cuma, seperti selalu – orang Melayu tinggi pekertinya. Doanya sekadar menuntut haknya. Dalam kes bekas pekerja Kumpulan Utusan, doanya hanya mahukan baki gaji dan VSS dibayar.

Dalam kepapaan, mereka berharap diterima semula bekerja. Mustahil, ada yang sanggup berdoa seperti doa Saad terhadap Usamah.

Wallahua’lam.

Namun, sebagai marhaen yang kehilangan kerja dan teraniaya tanpa bayaran baki gaji dan pampasan – doa mereka tentulah merendah diri ke hadrat Allah.

Mustahil ada yang sampai hati berdoa – memohon Allah jahanamkan si penzalim.

Orang marhaen seperti bekas pekerja KU selalunya pengikut setia nasihat ulama. Apabila dizalimi, pesan ulama sentiasa dalam ingatan: “Doalah yang baik-baik saja…”

Inilah realiti. Penzalim selalu diraikan apabila melakukan kejahatan. Penzalim akan selamat dalam kehidupan.

Malah, melakukan kejahatan atas nama bisnes kini satu kebiasaan. Dalam berniaga, keuntungan bukan agama.

Maka, untuk kaya, agama bukan nilai utama. Malah, dalam banyak keadaan, wang tidak memiliki tuhan.

Begitulah. Hidup penzalim sentiasa bertuah. Darah kejahatan dunia boleh dicuci dengan wang kertas.

Tanpa tawaran kerja nasib jadi peminta-minta

Lebih 800 bekas pekerja Kumpulan Utusan yang ditamatkan khidmat tanpa gaji kini mulai letih menanti proses liquidator.

Mereka diarah berambus meninggalkan pejabat dalam 48 jam. Selepas 100 hari berlalu, belum ada berita mengenai tunggakan gaji dan VSS.

Ramai yang berharap bayaran dibuat pada Disember lalu bagi meringankan beban kewangan menjelang musim persekolahan.

Haram jadah. Sesen pun tidak dibayar. Walaupun realiti kemelaratan hidup bekas pekerja Kumpulan Utusan bukan lagi rahsia.

Tanyalah pegawai Perkeso: Apakah kejutan yang paling dirasakan sejak penghujung tahun lalu?

Jawabnya, sejak Oktober, muncul gerombolan bekas pekerja Kumpulan Utusan memohon tuntutan skim kebajikan.

Tanyalah Pejabat Zakat Wilayah Persekutuan dan Selangor: Siapakah kumpulan pemohon paling ramai meminta bantuan?

Jawabnya, bekas pekerja Kumpulan Utusan.

Berdoalah, kerana Allah mendengarnya

Sebahagian pekerja sebelum penggulungan dijanjikan dengan harapan penyerapan semula apabila Utusan Malaysia dan Kosmo diterbitkan.

Janji ini tanpa dokumen. Namun, janji lisan dalam Islam adalah akad yang mesti ditunaikan. Hanya yang munafik akan memungkiri lafaznya.

Mahkamah dunia mungkin tidak dapat memberikan keadilan bagi janji lisan. Tetapi, dalam Islam, sekiranya dalam janji lisan wujud penipuan, maka pekerja Kumpulan Utusan ialah orang teraniaya.

Kalau sahabat Rasulullah seperti Saad yang dijanjikan syurga Allah pun masih berdoa menuntut kebenaran, tidaklah janggal 1500 pekerja Kumpulan Utusan berbuat demikian.

Hadis riwayat Bukhari mengenai doa Saad adalah satu kebenaran. Tanda doa orang teraniaya akan mendapatkan keadilan Allah.

Kalau benar wujud penipuan dan adanya dalang yang sengaja mencampak pasir ke periuk nasi bekas pekerja Kumpulan Utusan maka berbisiklah pada Allah.

“Ya Allah, panjangkanlah usia orang yang menganiaya kami. Hidupkan nyawanya hingga ke usia langka, dan hinalah dirinya seperti Usamah sebagai balasan atas kezaliman yang dilakukan.”

Minggu lalu, tersebar iklan jawatan kosong mencari wartawan. Bukan surat tawaran tertutup kepada bekas penjawat Kumpulan Utusan.

Khabar angin turut tersebar. Kononnya, bekas pekerja Kumpulan Utusan tetap menjadi keutamaan. Iklan hanya warwaran strategi.

Namun, apabila sekali berlaku penipuan, kebenaran menjadi perkara terakhir untuk dipercayai.

Maka berdoalah, sekiranya ada dusta dan aniaya, Allah jahanamkan segera hidup si penzalim!

Air mata kelaparan anak-anak, derita isteri, kesedihan ibu bapa bekas pekerja yang teraniaya, adalah derita yang sama perit seperti ketika Saad difitnah Usamah.

InsyaAllah, Allah pasti makbulkan doa bekas pekerja Kumpulan Utusan yang dianiaya. – 26 Januari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen