Sukar kekal prestasi indeks rasuah kerana tiada majoriti besar, kata PM


SM Amin

Perdana Mnteri Dr Mahathir Mohamad ketika hadir ke majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oeh Kama Ariffin, 25 Januari, 2020.

KERAJAAN sukar mengekalkan pertumbuhan positif dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) disebabkan janji dalam manifesto pilihan raya yang belum ditunaikan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, walaupun banyak manifesto telah ditunaikan namun kerajaan menghadapi masalah untuk menunaikan janji yang memerlukan pindaan dalam perlembagaan.

Jelasnya, sebahagian janji tersebut memerlukan pindaan perlembagaan tetapi kerajaan tidak mendapat kekuatan dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

“Kita sudah lakukan banyak yang kita janji tetapi berkenaan dengan meminda atau menggugurkan undang-undang yang ada kaitan dengan perlembagaan, perlu persetujuan dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat.

“Kerajaan tidak punyai kerusi dua pertiga dan sebab itu kita perlu dapat sokongan daripada parti lawan juga. Ini tidak mudah.

“Umpamanya kita bersetuju untuk anggap Malaysia ini gabungan tiga wilayah. Tetapi bila kita bawa kepada parlimen, pihak Sarawak tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau ditanya mengenai cabaran dihadapi Malaysia untuk mengekalkan kedudukan dalam CPI, memandangkan negara memperbaiki kedudukan ke tangga 51 tahun lalu dari 180 negara.

Ia merupakan prestasi lebih baik dari kedudukan ke-61 yang dicatat pada 2018, namun Transparency International Malaysia (TI-M) mengingatkan kerajaan supaya tidak selesa dengan kedudukan itu.

Presiden TI-M Akhbar Satar pada Khamis berkata kerajaan perlu melihatnya sebagai cabaran terutama membabitkan usaha merintis transformasi urus tadbir.

Katanya, momentum pertumbuhan positif khususnya meliputi persepsi rasuah dalam kalangan masyarakat dan golongan berkepentingan akan luput tanpa pembaharuan yang dijanjikan.

Akbar turut membangkitkan janji PH untuk berkaitan pemusatan kuasa dan pelantikan jawatan penting agensi penguatkuasa agar tidak diletakkan bawah bidang kuasa perdana menteri.

“Oleh itu, jangan syok sangat atau terus dibuai dengan kejayaan melalui CPI 2019 kerana hakikatnya kelestarian usaha transformasi, khususnya membabitkan urus tadbir awam harus diberikan penekanan,” katanya.

Perdana menteri hari ini hadir ke majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. – 25 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen